Followers

Monday, October 25, 2010

Selepas 16 tahun terpisah;Cikgu Azizan,Cikgu Fairuz & Cikgu Naimah



Siapa yang tidak teruja berjumpa seseorang yang pernah mendidik kita suatu ketika dahulu? Tempoh 16 tahun perpisahan,begitu banyak momen momen kehidupan yang merentasi fasa fasa perjalanan hidup. Bagi aku antara pendidik dan anak murid,darahnya mengalir umpama nadi nadi yang bertali temali menjadi tiupan sebuah kehidupan. Dan tanpa mereka,tentunya kita tidak bisa hingga ke 'sini' dan tanpa mereka aku sangat pasti kita entah ke mana pincang dan celanya melawan dan mengikut arus. Teringat kata kata emak,cikgu antara yang perlu dikasihi dan dihormati selepas ibu bapa! Itu yang aku pegang hingga kini. Zaman persekolahanku dahulu,kami sangat sangat menghargai apa itu 'cikgu' dan peranannya. Acap kali ketika hari guru terutamanya sebutlah mana mana cikgu di sekolahku paling tidak akan menerima akan key chain kecil. Memang murah harganya,tapi itu tandanya kami 'menyayangi'.

Tugasan ber'Musafir' di bumi Alor Star tidak ku lepaskan sama sekali untuk menemui insan insan kesayangan yang bertakhta di hatiku sebagai pendidik. Umpama bulan jatuh ke riba bila aku memang dari KL lagi sudah merancang apa cara sekali pun menemui cikgu cikguku ini. Alhamdulillah Allah memudahkan nawaituku itu. Awalnya aku hanya memberitahu Cikgu Azizan,kemudiannya aku baru teringat dan pantas mengirim pesanan ke dalam inbox FB Cikgu Fairuz dan Cikgu Naimah yang nombor telefonnya di dalam telefon ku yang telah rosak. Aku amat berharap benar dapat berjumpa dengan wajah wajah ini yang sekian lama aku rindui.

Alangkah terujanya berjumpa dengan Cikgu Azizan,guru sejarah yang menjadi favouriteku suatu ketika dahulu. Almaklum untuk menyintai sejarah amat memerlukan ketabahan yang tinggi kerana subjek itu sendiri banyak bermain dengan fakta dan nama nama yang ada di mana mana helaian. Tetapi cikgu yang seorang ini amat menyenangkan kami sekalian. Masa itu Cikgu Azizan menjadi fav di kalangan pelajar pelajar kerana dia seorang yang berbudi bahasa dan tidak pernah meninggi suara. Cikgu yang comel dan berkulit cerah ini masih kekal terbayang bayang di birai mata. Aku juga masih ingat tulisan Cikgu Azizan yang cantik itu menulis di papan hitam. Bila tulisan cikgu cantik,maka kami anak anak murid selesa menyalinnya ke dalam buku catatan :-).Masih terbayang bayang di ruang mata akan cikgu Azizan yang sesuai benar berkemeja merah jambu dan berseluar putih. Semuanya masih segar di dalam ingatan,walau ianya sudah berlalu 16 tahun lamanya. Tidak ada kata yang mampu ku ungkap bila berjumpa dengan cikgu yang seorang ini. Hanya,terima kasih Cikgu,Sejarah Azian dapat juga credit yang teratas walau bukan flying colours. Terima kasih sebab ingat Azian lagi. Malu sungguh bila cikgu kata,Azian ni 'budak baik dan pendiam' dalam sekolah. Alahai....betapa tajamnya memori Cikgu.

Pertemuan diatur dan aku berkesempatan dengan Cikgu Azizan menemui Cikgu Fairuz. Ini guru kelasku ketika di Tingkatan Satu dan Guru Geografi semasa Tingkatan 1 & 2. Alhamdulillah aku juga menyintai mata pelajaran Geografi dalam ramai murid murid tidak meminatinya. Masih segar diingatan harus mengingat setiap satu rumah di kampungku untuk dilukis ke dalam peta penempatan,mengira kereta yang lalu lalang di depan sekolah dan pelbagai lagi tugasan lain. Cikgu Fairuz seorang yang tidak banyak cakap dan tidak pernah juga garang kepada kami semua. Pernah satu ketika,aku nampak Cikgu Fairuz memarahi kami satu kelas kerana beberapa murid 'nakal' berbuat bising dan tidak mendengar katanya. Ada air mata yang ku lihat pada matanya. Beberapa pelajar perempuan ketika itu di dalam kelasku berbisik sesama sendiri melihat Cikgu Fairuz. Kasihan Cikgu dan aku sedar itu tanda anak murid tidak mendengar kata katanya. Seisi kelas diam,bila Cikgu Fairuz berlalu. Rasa simpati menular ke seluruh urat nadiku. Mengapa Cikgu yang seorang ini mesti dilukai hatinya,sedangkan meninggi suara kepada kami seisi kelas pun dia tidak pernah. Azian lupa nak bagitahu Cikgu pada pertemuan tempoh hari. Tiba tiba ini baru Azian teringat. Tiba tiba pula Azian teringat tulisan cikgu yang cantik. Agaknya semua tulisan cikgu cantik cantik ya..:-). Cikgu tak banyak berubah,masih seperti dahulu.

Usai pertemuan aku sempat mengucup tangan ke dua dua guru ini. Tidak ada kata yang mampu ku balas. Sebak bertali temali di relung hati. Sebak yang tidak mampu aku ucapkan,cuma aku bijak tidak mempamerkannya di ruang mata. Hanya Allah yang tahu betapa rasa terima kasihku,rasa kasih sayangku,rasa rinduku dan rasa hormatku kepada kalian yang tidak mampu ku rungkai dengan kata kata. Setiap masa Azian mendoakan kesejahteraan cikgu cikgu Azian ini yang sentiasa kekal dalam ingatan Azian.

Perjalanan ke KL,aku singgah sebentar untuk menemui Cikgu kesayangan yang seorang ini 'Cikgu Naimah'. Masih terngiang ngiang,masih terbayang bayang jerit suara,bebelan dan sifat kelakar Cikgu yang seorang ini. Aku sangat rindukan cikgu yang comel ini. Sungguh rindu. Sifat menyintai mata pelajaran BM dari dulu hingga selamanya menjadikan aku rapat dengan Cikgu BM. Mungkin kerana itu aku bergelar 'Penulis Skrip' kini. Dan penyumbang aku hingga ke tahap ini,inilah dia...inilah ratu hatiku bernama Cikgu Naimah. I LOVE YOU Cikgu dan jasamu kekal dalam ingatan Azian buat selama lamanya.

Buat Cikgu Cikgu yang lain,teringin rasanya bersua muka. Antara yang ingin sangat ku temui Cikgu Matematik Ting 1 & 2;Cikgu Azman,Cikgu Kamaruddin;Penyelia Perpustakaan,Cikgu Ishar;Guru Pertanian,Ustazah Ramlah;Ustazah dan ramai lagi yang tidak mampu aku sebutkan. Sungguh ianya 'sentimental value' dan siapa sangka ianya telah tertulis takdir yang kita akan bertemu selepas 16 tahun terpisah. Apa pun perjalanan ini,berjalanlah tanpa henti kerana Allah menguji dan tidak akan berhenti. Dan sekalian guru guruku,walau di mana pun doa ini tidak lekang untuk kalian.

Tuesday, October 19, 2010

Selamat Ulang Tahun 'Muhammad Yassin Adnin' 11 tahun - 19 Oktober 2010



Hari ini hari jadi 'Muhammad Yassin Adnin',satu satunya lelaki yang aku kandungkan selama 9 bulan dan mungkin dia adalah lelaki pertama dan terakhir yang aku kandungkan. Semalam masa hantar Yassin ke sekolah dan sekaligus balik asrama,aku dah ucap advance birthday padanya sempena birthdaynya hari ini. Yassin cium pipi aku kiri dan kanan serta dahi,acap kali kebiasaannya dia melakukan aku sebegitu. Kalau tahun lepas aku hadiahkannya gitar. Tahun ini aku mencuba untuk menghadiahkannya sebuah laptop kerana dia sudah ada keupayaan meminati dunia siber dan teknologi maklumat dengan pantas. Tetapi ianya ku katakan dengan bersyarat jika peperiksaan hujung tahunnya adalah di dalam 5 teratas. Dia senyum simpul. Terima kasih selalu picit kepala Umi,bila Umi balik kerja,terima kasih tolong Umi basuh pinggan dan apa juga yang menyenangkan hati Umi,disebalik kenakalanmu. Walau sikap tidak duduk diammu membuatkan Umi terkadang lelah dan melampiaskan kemarahan. Maafkanlah Umi,kerana sebagai Umi dan ayahmu dalam satu masa...Umi terkadang akur yang Umi hanya manusia dan ada rasa tidak puas hati,penat dan pelbagai lagi. Apa pun pencapaiannya pada tahun ini khatam Quran dalam umur 11 tahun,sedetik membuatkan perutku sejuk mengandungkannya. Dia mampu menghafal surah Yassin dan lancar di dalam membaca tulisan tulisan Jawi dan membaca Al Quran. Setidaknya itu mampu untuk aku jika sudah tiada lagi untuk anak ini mengutus sepotong doa buat ibu bapanya.

Yassin,hari ini Umi nak ucapkan 'Happy Birthday'...Umi dan kakak sangat sayangkanmu yang tiada galang gantinya kerana dirimulah satu satunya lelaki yang menjadi pelindung kami. Umi sangat dambakanmu menjadi anak yang soleh,menghormati wanita dan bertanggung jawab dunia dan akhirat. Seperti juga ibu ibu lain. Umi mungkin tiada harta sehasta yang mampu ditaburkan buatmu,tetapi ingatlah segalanya tanpa kerja keras ianya tidak akan mampu datang bergolek seperti yang kita kecapi hari ini.

'Lelaki Ini yang selalu mencintamu,selalu tanpa ragu
lelaki ini yang selalu memuja,hanya dirimu yang bertakhta dalam sanubariku'


-Umi Yang Melahirkanmu Tanggal 19 Oktober 1999, 2.30 petang, Hospital Kajang Selangor-

Sunday, October 03, 2010

Raja Nur Azrinda - antara RM25 ribu,Cross Stich sarung telefon,pastri bijan & Giant Cell Tumor





Berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikulnya. Ini penderitaan yang dialami oleh pemilik wajah manis dan ayu berusia 21 tahun bernama ‘Raja Nur Azrinda’. Gadis manis ini menderita ‘Giant Cell Tumor’ semenjak beberapa tahun dulu dan sudah menjalani lebih daripada 20 kali pembedahan pada kakinya. Pusat Perubatan Universiti Malaya di wad Tingkat 9 Ortopedik itu menjadi rumah utama kepada Azrinda dan mamanya Makcik Ana yang menghuninya sudah sekian lama. Asing bagi kita semua,tetapi itulah kenyataan buat mereka anak beranak yang sudah menjadi rutin biasa menghuni wad tersebut. Makcik Ana,ayah Azrinda dan adik adiknya bergilir gilir menjaga Azrinda di wad tersebut. Malah adik beradik Azrinda dan ayahnya sendiri juga mengalami masalah kesihatan yang pelbagai. Ini dugaan buat mereka. Mereka mengusahakan perniagaan PASTRI BIJAN yang sangat enak rasanya dalam mengumpul dana bagi keperluan pembedahan Azrinda sendiri.

Kunjungan demi kunjungan aku,baik semasa penggambaran dan selepas penggambaran membuatkan aku makin belajar satu lagi erti ketabahan,kekuatan dan syukur. Betapa ada insan lain yang lebih getir dugaan mereka diuji Allah di muka bumi ini. Azrinda antara contohnya. Dia yang merupakan penuntut Komunikasi Masa UiTM terpaksa berhenti belajar hanya sampai ke semester 3 kerana Giant Cell Tumor yang dihidapinya. Malah Giant Cell Tumor ini juga masih baru di Malaysia dan antara penyakit dan rawatan yang baru dikenal pasti. Siapa sangka gadis yang aktif selama ini di dalam sukan dan pelbagai aktiviti luar kini terpaksa hanya duduk di atas katil putih hospital. Namun ketabahan hatinya dan seluruh ahli keluarganya patut menjadi contoh kepada kita semua. Dalam kesakitan dan penderitaan itu Azrinda masih mahu mengisi masa sakitnya,membantu mama dan papanya dalam hari tua yang berusaha keras mengisi tabung untuk rawatannya. Azrinda membuat sendiri cross stich sarung telefon dan beberapa aksesori kecil lain dalam mengisi masa senggangnya dan semuanya itu dilakukannya untuk membantu mama dan papanya dalam rawatannya. Jernih mata Azrinda itu bagiku menyimpan kepelbagaian perasaan yang menghuni hatinya. Antara kasih sayangnya kepada ibu bapanya dan kekuatan dalamannya melawan dirinya sendiri dalam mengelak kesedihan melingkar dirinya atas kesakitan yang dihidapinya. Besi harus dimasukkan dalam kadar segera ke kaki Azrinda bagi membolehkannya balik ke rumah dan boleh menggunakan tongkat. Jika tidak Azrinda akan menjadi penghuni hospital selama kesakitannya dan tidak mampu berbuat apa2 kerana ketiadaan tulang dan besi mengakibatkan kaki kanannya hanya tersadai di atas katil. Ya Tuhan,penderitaan adik ini hanya bisa dijawab olehku dengan air mata dan dari sudut bening mata ini kerana aku tidak bisa membantu dengan wang ringgit.

Sms demi sms yang aku terima untuk bertanya khabar dari Makcik Ana dan Azrinda membuatkan aku mengganggap mereka ini seperti saudara dan darah dagingku sendiri. Malah seisi kes ‘Merisik Khabar’ itu jauh dari sudut hati aku tidak mahu hubungan itu hanya disetakat penggambaran sahaja. InsyaAllah selagi daya apa yang mampu dibantu,walau setitik dan secebis aku bantu,walau ini….saat ini hanya melalui ketukan di papan keyboard yang mampu aku bantu mereka. Moga moga bait bait ayat ini dapat membuka hati kalian di luar sana agar membantu Azrinda ini dalam apa cara sekali pun. Mungkin tika ini masa sukar buat mereka,tetapi bagaimana kita di suatu masa nanti yang tidak tahu apa dugaan mendatang di hari muka,mungkin lebih hebat lagi. Setidaknya juga ia menjadi bekalan buat ladang akhirat.

Sesiapa yang mahu membeli PASTRI BIJAN AZRINDA sila berhubung dengan Azrinda direct di facebooknya : Facebook Raja Nur Azrinda

Dan hulurkan bantuan anda walau berapa pun untuk menampung kos pembedahannya khususnya dalam masa terdekat untuk memasukkan besi di kakinya dengan kos RM25,000.00 (DUA PULUH LIMA RIBU). Jika ada badan korporat,organisasi dan individu yang sudi membantu,hanya Allah bisa membalasnya.

CIMB
1231-0086126-52-6 -RAJA NUR AZRINDA.

Semoga sumbangan anda mampu meringankan beban mereka. War warkanlah kepada insan lain. InsyaAllah ALLAH tahu apa yang kita tidak tahu.

Sunday, August 29, 2010

'PANGKIN ATOK' ku di TV3 :-) - pangkin ini atukkan bercerita....

Rindu bila tidak menulis. Menulis umpama oksigen di dalam hidupku. Tanpanya aku jadi kaku,bisu. Banyak juga yang aku ingin ceritakan mengenai 'Merisik Khabar',tetapi kesibukan kini dan hingga saat ini amat terbatas untuk aku menulis di produksiku ini. Terima kasih kepada pengikut pengikut blog 'Nanamya Production'. Setidaknya yang setitik ini yang ku kongsikan mampu memberi sedikit baur ceria pada kalian di luar sana,setidaknya mengisi masa senggang di bulan Ramadhan.

Tidak lengkap aku tidak bercerita mengenai 'PANGKIN ATOK'. Ianya karya sulungku yang menembusi TV3. Sekian lama aku mengimpikan untuk tembus ke TV3 dan akhirnya hajatku tercapai. Alhamdulillah. Terima kasih kepada Kak Rozie Rashid dan Rohizan Ramli (Jai) yang mempercayai akan bakatku. Gembira dan mahu bekerjasama dengan kalian lagi. Aku dekat dengan 'Pangkin Atok',bila menulis umpama aku juga berada di dalam dunia anak anak itu sendiri,sementelah aku punya anak baya baya itu. Aku mahu 'Pangkin Atok' berjaya seperti mana 'Diari Ramadhan Rafique' itu yang skripnya ditulis oleh Faznita Md Noor dan punya musimnya sendiri. Betapalah juga DIARI RAMADHAN RAFIQUE juga merupakan naskhah skrip pertama yang ku pelajari. Kini aku berada di lingkungan itu dalam genre itu,anak anak dan suasana kampung yang damai.Alangkah gembiranya. Syukur ke hadrat Allah. Terima kasih kepada kawan kawan yang menyokong 'PANGKIN ATOK',yang sukakan siri sirinya. InsyaAllah ini katalis untuk aku menulis dengan lebih baik lagi. Doakan aku ya....:-)





Wednesday, June 23, 2010

Merisik Khabar Episod 'RIZAL & MOLLY'





INT/RUANG TAMU/AKU-MALAM

Aku click satu satu gambar shooting tadi. Effect Sephia yang disetkan dan disnap oleh Mu'sab crew technicalku memberikan pesona yang luar biasa dari biasa kepada gambar yang kami rakamkan tadi. Thanks Mu'sab.

Aku kini sudah bermula dalam production fasa bagi merealisasikan program Merisik Khabar yang akan bersiaran di Astro Prima pada 9th August ini. Pelbagai dugaan yang harus aku hadapi terutamanya dalam kemelut dan simpang siur menjadi PM & Script Writer. Aku tidak ada masalah dalam penulisan dan kalau pun menulis aku mahu menulis sampai mati. Kerana setiap taipan bait bait kata adalah nadiku umpamanya yang bergerak seiring waktu. Tetapi jujurnya task sebagai PM terkadang membuatkan kerjaku sebagai penulis skrip menjadi delay. Aku benci itu! Dalam menulis aku mahu yang tenang tenang aja,tetapi siapa yang bisa mengerti rasa hatiku?

Dalam saat stress aku masih sempat menyambar skrip drama. Aku tidak boleh lari jauh kerana ia adalah passionku. Merisik Khabar juga...betapa terduganya aku harus menyeimbangkan antara doko dan drama ini. Betapalah...Ya Tuhan.

Merisik Khabar,program kemasyarakatan yang sangat erat. Program ini membantu mereka yang memerlukan dan sangat menghendaki tiupan semangat dan sokongan yang termampu bagi meneruskan sisa kehidupan. Kes pertama yang kami teroka adalah kisah Rizal,seorang yang celik kepada buta dalam masa tidak sampai 6 bulan. Segala galanya berubah di dalam sekelip mata. Aktiviti yang sering dilakukan Rizal dahulu;sukan,memancing dan sebagainya kini tidak lagi dapat disertai kerana cacat penglihatannya. Sekaligus tanggung jawab ketua keluarga terarah kepada isterinya.Rizal sebelum ini punya kerjaya yang kukuh dan bayangkan bagaimana semuanya berubah dalam sekelip mata. Kawan kawan menjauhkan diri,even isteri dan anak anak pada peringkat awal sukar menerima hakikat. Terkadang anak anak lupa bahawa ayahnya sudah hilang penglihatan bila mempelawa Rizal menonton wayang gambar. Hidup Rizal kini kosong dan sunyi. Segalanya tidak dapat dilakukan. Dan atas dasar itu kami memberikan solusinya dan membawa Rizal ke Persatuan Orang Buta bagi mendaftarkan Rizal kelas refleksologi. InsyaAllah di sana,Rizal akan mempunyai kemahiran bagi meneruskan kelangsungan hidup dan berdikari tanpa mengharapkan sesiapa. Juga asas asas yang perlu bagi warga cacat penglihatan. Kami mahu lihat Rizal senyum selamanya...walau selama ini senyumnya kami tahu ada luka yang tersimpan yang menanti untuk diluahkan.

Aku dan crew erat dengan Rizal dan keluarga. Inilah yang sukar ku dapati pada program lain. Melalui Merisik Khabar,aku seakan berada di dalam kemelut mereka dan seakan merasa titisan titisan air mata itu menyerap urat nadiku. Melalui itu juga aku menginsafi nasib yang menimpa dan betapa aku beruntungnya dan program ini mengajar aku erti SABAR dan BERSYUKUR. Apa pun dugaan,apa pun kemelut dan walau apa juga pun remeh temeh yang berlaku aku tetap di sini membantu mereka ini kerana aku sayangkan mereka dan aku sayangkan program ini.

Teringat bait bait kata Rizal lewat penggambaran kami....ini membuatkan aku mengalirkan air bening di birai mata. Abg Rizal,ketabahanmu memberikan kami lagi 1000 kekuatan. Sama2lah kita tabah dan BUTA bukan akhir sebuah kehidupan.

"Abg Rizal bersyukur,sekurang kurangnya Abg Rizal dapat tengok...berbanding orang yang buta sejak lahir...Abg Rizal tahu warna merah macam mana dan bentuk langsir macam mana"


Molly
Ibu tunggal yang tabah. Bangkit dan bangun dari sepak terajang sang suami. Betapalah kuatnya ketabahannya yang membuatkannya terus bangun tanpa menoleh lagi. Bila bersalaman dengan Kak Molly,semangatnya itu umpama mengalir terus dalam urat nadiku. No more tears katanya. Hidupnya kini hanya ingin menjadi model kepada ibu tunggal yang lainnya untuk terus bersemangat dan berusaha.

Wednesday, June 16, 2010

...Aku Kini Perlu Berdiri ...Walau Hakikatnya Pasti Kan Melukai

INT.DEPAN TV.RUANG TAMU.AKU.MALAM

Laptop on. TV terpasang,entah apa rancangan. Anak aku yang tukang tekan remote. Tekan lagi dan fikiranku bukan di TV. Aku hanya melihat objek objek di TV itu bergerak,tetapi mata menafsir dengan kaku dan bisu. Pandangan mata bisa tembus ke dalam wayar wayar dan cip di dalam TV itu aku rasa mungkin. Arghh aku terlalu banyak berfikir sejak akhir akhir ini. Tekanan mungkin.

SFX
HATI BERBISIK
Senilagu: Siti Nurhaliza & Aubrey Suwito
Senikata: Siti Nurhaliza

Verse
Malam Bertandang
Hati Berbisik Mengenang
Cerita Derita Yang Daku Pendam

Kata Menguji
Cuba Untuk Kusudahi
Berulang Airmata Membasahi

Chorus
Aku Kini Perlu Berdiri
Walau Hakikatnya
Pasti Kan Melukai


Aku Ingin
Semua Rasai
Kerna Pengakhirnya Hidup
Ku Sendiri


Ulang Verse
Ulang Chorus

Oh Tuhan Kau Berikan Aku
Segala Kekuatan
Meneruskan
Perjalanan

Fasa fasa momen perjalanan hidup ini tidak ada yang lebih membahagiakan dan menyejukkan mata dan pandangan bila mana MUHAMMAD YASSIN ADNIN telah khatam Al Quran di dalam usia 11 tahun. Ianya menyejukkan pandangan mata dan hatiku sebagai ibu. Terasa sejuk perut aku yang 11 tahun dahulu mengandungkannya. InsyaAllah. Moga akan datang yang manis manis lagi,walau seribu dugaan datang menimpa,menduga dan terkadang membiarkan mata berkaca di pelupuk mata.

Sejak akhir akhir ini aku mula juga memahami mungkin sudah tiada lagi...CINTA SEJATI,kerana aku sudah mula tidak mempercayai. Maafkanlah aku duhai hati Moga dengan harapan dapat singkir sisa duka yang bertali temali dengan kenyataan ini.

FADE TO BLACK

Friday, May 28, 2010

Berlari Tanpamu Di Sisi :-)

INT/RUANG TAMU/RUMAH AKU/AKU-AFTERNOON

Terlalu banyak momen momen yang penuh erti aku lalui sepanjang blog ini usang tanpa entry yang terbaru. Kelelahan demi kelelahan indah aku lalui dalam rangka aku mencuba mempositifkan diri demi BERLARI mengejar bintang kejora impianku. Aku sebenarnya keliru dalam tugasanku sebagai team di dalam MERISIK KHABAR program berdurasi setengah jam ini selama 21 episod.

a)Producer/Script Writer Team A -Pada awalnya produksi mahukan aku sebagai producer/script writer dan perlu menyudahi 4 episod yang di dalamnya ada 3 team bagi 13 episod pada awalnya. Saat itu aku satu satunya di dalam team MERISIK KHABAR yang ada bagi pre pro. Kedatangan Supervisor Producer membuatkan ianya semua menjadi berubah yang aku antara tidaklah kisah sangat. Cuma direction harus betullah di dalam task ku.

b)SP mahukan aku menjadi producer untuk lead salah satu team,sekarang hanya ada 2 team sahaja kerana mahu save budget. Aku ada permintaan,as a producer aku juga mahukan skrip aku menulisnya. Dia kata, tidak perlu kerana kita sudah ada researcher/writer yang dibayar untuk menulis. OK..aku clear.

c)Kemudiannya aku dicadangkan oleh Executive Producer Astro bagi menjadi BJ on TV. Walau pada mulanya ku katakan ianya kerja GILA,kerana aku tidak ada komersial value langsung pun on TV,tetapi pandangan kawan kawan dan kata2 semangat SP kononnya maka aku mengambil cabaran ini. Dan aku bertanya lagi,adakah aku perlu produce dan tulis skrip juga? Dia kata,no...but as a BJ aku kena study dan buat research pasal kes. OK aku clear :-D. Ala2 Nur Syuhada Majalah 3 kah aku? Ala2 Karam Singh Walia kah aku? haha...

d)SP kata,tidak ada dia percayai dalam memegang cash flow,sementelah akulah satu2nya di dalam produksi yang ariff tentang perjalanan produksi. Jadi sebelum PM masuk,maka aku merangkap PM. OK..aku clear...

e)Kemudian, katanya mahu aku menulis kerana mahu Researcher menumpukan pada kes dan beberapa sebab lain yang dia tidak puas hati kerana mahukan emosi yang lebih di dalam skrip program ini. Aku fine...kerana aku memang bangga menjalankan tugas menulis skrip and i am proud to be script writer than producer...jujurnya. Jadi umpama aku dapat crown aku balik.

f)Then dia kata aku sekarang as a PM and Script Writer. Jujurnya aku tidak suka kerja PM kerana aku tidak suka pegang duit orang. Tetapi tidak apalah,aku ambil ini sebagai cabaran,kerana sebelum ini aku juga as a PM/Producer/Script Writer...aku juga pegang duit. Tetapi jujurnya memang aku kurang senang memegang duit produksi. Aku ambil pendekatan positif untuk aku manfaatkan di dalam Nanamya Production.Amin

Aku refer kepada Abg Jamil Mutalib,terhadap persoalan persoalan dan kemelut ini dan thanks Abg Jamil kerana memberikan nasihat yang bagus. Really appreciate it. Aku manfaatkan semuanya ke arah positif2 sahaja. Banyak benda yang datang,jika kita sentiasa positif.

Dalam pre pro Merisik Khabar membuatkan aku makin menginsafi diri,membuatkan aku makin merasakan aku lebih baik dari mereka. Sebelum ini aku prejudis akan mengapa kehidupanku tidak bernasib baik dari orang lain,perasaan tidak bernasib baik itu besar menghuni di dalam kehidupan. Tetapi kini aku sedar,aku lebih bernasib baik di dalam kehidupan. Kita ini ada sisi sisi gelap yang diberi dan ada cahaya di ruang lainnya yang kita bagi. Mungkin kita bernasib baik di dalam kerjaya,tetapi tidak bernasib baik di dalam perkahwinan...contohnya begitu. Tetapi jujurnya aku memang berniat membantu mereka mereka itu di dalam program ini mudah2an ianya sampai ke 'sana' bila aku sudah tidak ada lagi. InsyaALLAH. Apa pun dugaan dari pre pro,production,post pro akan aku lalui dengan kekuatan semangat. Mudah2an...Amin.

Thanks to Jai kerana mengenalkanku dengan Kak RR dan kerana Kak RR yang memberikan aku peluang non stop bagi menembusi TV3. Salah satu dari proposalku approved,setengah jam 10 eps di TV3. Hanya ALLAH bisa membalas jasa kalian....

Dia hadir di dalam hidupku,setelah setahun lebih menghilang diri melanjutkan pelajarannya ke Aussie. Merintih untuk memberiku kesempatan rapat semula. Tahukah kau,yang kerana sangat menghormatimu dan persahabatan inilah maka aku sendiri yang menghendaki kita sedikit jarak. Tahukah engkau tentang itu Sahabat? Sayangnya engkau tidak tahu dan terus berlalu pergi di dalam hidupku. Alasanmu kerana kata kataku menghiris yang melukakan hatimu tahap paling dalam. Alasanmu mengatakan aku sudah tidak memperdulikan akan persahabatan kita yang dibina sekian lama ini. Katamu aku sudah tidak memperdulikanmu dan tuduhanmu mengatakan aku mungkin sudah punya ramai kenalan dan punya yang lebih baik darimu. Jelas,kita sudah tidak mampu berbicara lewat bahasa maya,sms atau telefon. Yang menyelesaikannya sekarang adalah bicara mata. Kejam tuduhanmu,sahabat kerana kau tetap istimewa di dalam hatiku. Mana mungkin aku membunuh persahabatan ini yang telah kita bina lebih dari 2 tahun lamanya. Aku sangat menghormatimu dan menyayangi persahabatan kita ini,walau kau sudah bertekad meninggalkan aku. Hatiku pedih,tertusuk sembilu paling tajam atas caramu dan pilihanmu. Tidak apa,pergilah jika itu yang membuatmu bahagia selamanya. Thanks kerana suatu masa dahulu,sayup di hujung corong telefon kau melagukan aku dengan irama RINDU-M.NASIR dengan suaramu yang lunak. Thanks sahabat,itu kenangan yang akan aku abadikan.

....Untukmu S

hujan lebat mencurah kini
bagaikan tiada erti
kaulah laguku kau irama terindah
kini tak lagi ku dengari
kau pergi......


INSERT SFX - TOMOK-BERLARI

Aku yang telah merasa keliru
Aku yang tak tahu mana nak tuju
Sampai bila harus aku menjadi bisu


Kamu yang mahu mencintai aku
Kamu yang mahu mencintai dia
Haruskah cinta ini jadi begitu
Tak perlu kau merayu
Pergilah bersamanya
Biarkan ku sendiri
Tak perlu kau menyakiti

Chorus
Kini ku bebas tanpa bayangmu lagi
Bebas ‘tuk berlari
Mengejar impian aku
Yang terkunci
Walaupun tanpamu di sisi
Aku kan berlari
Teruskan berlari

Dan kini semua telah terbukti
Tanpamu ku masih ada di sini
Mengejar impian yang hampir pasti
Kamu yang mahu mencintai aku
Kamu yang mahu mencintai dia
Haruskah cinta ini jadi begitu

Tak perlu kau merayu
Pergilah bersamanya
Biarkan ku sendiri
Tak mahu kau menyakiti

Ulang Chorus

Gelap sudah menjadi terang
Pandangan semakin jauh
Jauh meninggalkan kamu
Terus ku terus berlari
Kan ku capai bintang itu


CUT TO

* MERISIK KHABAR merupakan program kemasyarakatan berdurasi setengah jam sebanyak 21 eps. Akan bersiaran di Astro Prima dihostkan oleh Aznil Haji Nawawi pada 9th August daily pada bulan Ramadhan. InsyaALLAH...