Followers

Sunday, May 17, 2015

Bila Saya Menulis; Telemovie Hidupku Solatku Matiku





Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah.

Apa lagi yang saya dapat katakan mengenai telemovie ini apabila melihat respon apabila semuanya yang menonton berjurai-jurai dan bercucuran air mata. Allahuakbar.

Pertamanya terima kasih ALLAH

Terima kasih semua.

Saya nak bercerita sedikit perihal telemovie ini. Telemovie ini telah lama saya tulis iaitu semenjak tahun 2012 lagi. Asalnya memang telemovie, kemudian diminta untuk memanjangkannya sebanyak 13 episod, kemudian disuruh tukar ke tema Ramadhan dan kemudian telemovie kembali. Begitulah perjalanan penulisan dan idea telemovie ini. Idea asal telemovie ini adalah daripada sahabat saya S.Wahyu dan kemudian saya kembangkan, subplot ditambah dan saya memikirkan iktibar dan teladan demi teladan apa yang perlu saya suntik. Itu memang iltizam saya dalam menulis apa juga karya saya yang keluar di layar kaca. Sebenarnya jalan penceritaan cerita ini mengalir dari 'kisah-kisah benar' di sekeliling saya'. Tajuk 'HIDUPKU SOLATKU MATIKU' ini saya pilih adalah berdasarkan 'Doa Iftitah' kita pada setiap kali solat.





Maka selepas siap, ianya lama juga tersimpan dalam simpanan saya dan penerbit. KIV dahululah kiranya. Saya senyap, tunggu HSM saya dipanggil semula :). Nah pada tahun ini, bila penerbit dan stesen TV menginginkannya kembali; saya perlu membuat sedikit penambahan, pengubahsuaian, punchline dan beat yang cantik. Masa penggambaran yang makin suntuk dengan artis dah dikunci(lock) maka saya perlulah menyegerakan skrip kesayangan saya ini secepat mungkin. Menjelang petang mereka baru shoot, hari sebelumnya saya tidak tidur kerana edit skrip ini.

Alhamdulillah pengarah hebat Raja Ahmad Alauddin, Kak Ton penerbit Global Station dan kekanda saya Rozie Rashid berpuas hati dengan setiap scene. Pengarah dan pelakon terutamanya Sharnaaz lagi mempercantikkan penceritaan. Skrip siap! Maka, here they go! Roll and action!

Semalam, bila FB saya dihujani tahniah demi tahniah. Setiap media sosial menjadi 'trending' mengenai #HidupkuSolatkuMatiku maka saya terpanggil untuk melekatkan tulisan apresiasi pada diri sendiri ini di dinding blog marhain saya ini. 



Harapan saya agar setiap bait ayat dan lakonan dalam #HidupkuSolatkuMatiku agar menjadi pedoman buat semua. Saya sekadar mengisi 'ruang kosong' yang ditinggalkan dalam drama industri apabila melata banyaknya cerita yang 'biasa'. Nama saya dalam lakaran penulis skrip drama bukan selalu ada di kaca TV kerana selebihnya saya banyak berkarya di dokumentari dan majalah TV, namun biarlah sesekali kemunculan saya, drama saya itu memberikan impak atau pun iktibar yang besar buat semua. Dengan karya saya, saya memperbetulkan diri saya sendiri dan juga semoga dapat memperbetulkan orang lain pula.

Pada cast; Sharnaaz Ahmad, Fasha Sandha, Puteri Balqis, saya sangat berterima kasih kerana lakonan yang sangat terkesan. Begitu juga dengan cast yang lainnya. Terima kasih atas lakonan yang penuh jiwa dan cinta.

Terima kasih pada semua krew dan semuanya yang terlibat. Pastinya thumbs up pada pengarah hebat Abang Raja Ahmad Alauddin.

Saya semasa menulis skrip ini pun menangis sampai berhenti menulis. Stop la sekejap, kesat air mata dan sambung menulis balik. Jadi bila semua penonton menangis, saya tau. Saya amat faham kerana saya berada di dalam jiwa Nordin, Lela, Lara, Mr Daniel Wong, Susan, Imam Mizan dan yang lainnya.

Yang baik itu datangnya daripadaNya dan yang lemah itu pastinya dari diri saya sendiri.

Jazakallah


No comments: