Followers

Thursday, November 11, 2010

AL FATIHAH Shamrin Fotograf



Facebook merupakan medium perantara yang paling cepat kini,malah lebih pantas dari telefon. Aku membaca akan perkhabaran pemergian 'Shamrin Fotograf' yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 18:35 11/11/2010 semalam. Ya Tuhan,penyanyi pujaan ini telah dijemput Ilahi.

Beberapa bulan ini aku kembali meminatinya,personalitinya dan tentu sekali suaranya. Entah kenapa tiba tiba. Aku meminati kumpulan Fotograf sedari dari album pertama lagi. Teringat lagi masa tu,poster mereka di tengah2 muka URTV aku jadikan poster dinding. Memang aku meminati mereka. Sehinggalah 5 album,termasuk album kompilasi.

Tahun 1996,aku berkesempatan mengenali Abg Ringgo(drummer Fotograf) yang kini dipenjarakan di Venezuela kerana kesalahan memiliki dadah. Ketika itu aku berurusan dengan Abg Ringgo berkenaan album. Aku yang dikenalkan oleh seorang rakan kepada Abg Ringgo menerima panggilan daripadanya ketika itu yang mahu berjumpaku dan mahukan profilku. Ketika itu aku masih menyewa di Flat Tinggi di Kg Baru itu. Dalam petang itu ketika aku menunggu Abg Ringgo,dia datang bersama motorsikal kuasa besarnya. Seakan umpama mimpi,Ringgo menemuiku dan bercerita serba sedikit akan 'projek album' ku dengannya dan aku menyerahkan profilku kepadanya ketika itu. Aku masih ingat Abg Ringgo hulurkan aku sekeping kad tertera namanya dan nama syarikatnya. Hanya itu dan kemudian aku difahamkan beberapa masalah yang mendatang,projek kami hanya tinggal kenangan. Sehinggalah aku tidak menemuinya lagi dan tiba tiba mendengar akan kisahnya menghuni penjara Venezuela. Moga Abg Ringgo dipermudahkan menjalani kehidupan ini.

Entah beberapa bulan ini,semenjak aku dan beberapa rakan di dalam produksi mengilhamkan sebuah program 13 episod bagi menjejak kembali kumpulan rock tahun 80an/90an aku kembali akrab dengan nama Fotograf. Tidak cukup membeli CD CD kompilasi,aku mencari di dalam You Tube segala video clip mengenai Shamrin. Entah kenapa,tiba tiba aku meminati kembali vokalis bersuara unik dan lunak ini. Bukan setakat itu aku sibuk mencari linknya di alam maya jika beliau mempunyai Face Book,blog,twitter atau apa sahaja. Sayang....beliau memang tidak mempunyai akaun akses dalam laman2 sosial ini. Sehingga aku berpesan kepada Mus May supaya Shamrin membuka sebuah akaun facebook supaya mudah peminat berinteraksi dengannya. Dan hari ini aku menerima berita akan pemergiannya. Ya Tuhan,perginya seorang penyanyi dan personaliti yang mengkagumkanku. Beliau jauh daripada gosip dalam setiap media hiburan. Hatta kehidupan peribadinya juga jauh dari pengetahuan peminat. Shamrin meninggalkan balu, Jasrizatul Akhmar Abu Saman, 29, yang sarat mengandung anak ketiga serta dua anak iaitu, Akmal Danish, 5, dan Akmal Shamim, 1. Dia juga mempunyai anak perempuan Siti Najwa, 17, hasil perkahwinan pertama dengan Noreda Mohd Razali.Jenazah Shamrin dikebumikan di tanah perkuburan USJ 22, Selangor. Moga segala kebaikan dan amalanmu menjadi bekal buatmu di sana. Al Fatihah.

....Ingin ku memuja seribu bahasa
Engkau yang ku damba untuk selamanya
Walau pun kau jauh di mata...

...Kita kekasih
Tak dapat dipisahkan lagi
Dalam mimpi
Tak dapat dipisahkan lagi
Kenyataan ini

Aku cinta kepadamu
Sehingga disaat nafasku terhenti
Kekasih percayalah...
Kaulah segalanya...


____________________________________________________________________________________

Ayah pesan jangan tinggal solat dan fokus hadapi SPM - anak Shamrin

KUALA LUMPUR: "Jangan tinggal solat dan belajar bersungguh-sungguh untuk hadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," demikian pesan terakhir penyanyi Mohd Shamrin Abd Samad, kepada anak sulungnya, Siti Najwa, 17.

Shamrin, 45, vokalis kumpulan Fotograf meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru, pada 6 petang semalam akibat sakit jantung. Najwa berkata, walaupun dia dan ayahnya tinggal berasingan akibat perceraian dua orang tuanya itu, namun bapanya sering menghubunginya dan sentiasa memberi dorongan dan semangat untuk berjaya dalam pelajaran. Najwa yang tinggal bersama ibunya, Noreda Mohd Razali, 45, di Taman Melawati berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan ayahnya kira-kira sebulan lalu dan ketika itu ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan pada kesihatan dirinya. "Kira-kira tiga hari lalu saya ada menghantar SMS kepada ayah dan mengatakan yang saya merinduinya dan dia terus menghubungi saya...

Tuesday, November 02, 2010

Remang Senja Pantai Kuala Kedah (Part 1)






Pantai Kuala Kedah,ada angin semilir berhembus lembut menampar pada wajah saat lewat petang begini. Teriakan anak anak mengutip kerang yang terpenjara di dalam tayar tayar kereta yang diletakkan di pantai ini begitu mengasyikkan.

"Yeay,cek dapat kerang...dapat kerang"

"Cek boleh juai"

Aku tersenyum memandang anak anak ini dari jauh. Seronoknya menjadi anak anak yang tidak kenal erti masalah dan liuk lintuk dugaan yang mendatang. Bunyi feri yang membawa penumpang ke Langkawi mengejutkan aku dari lamunan. Feri berwarna putih itu menderu melawan arus laut. Bunyinya sayup sayup jauh dan semakin hilang. Begitu juga pandanganku menerobos lautan yang maha luas ini. Subhanallah,indahnya ciptaanmu Tuhan seakan aku melihat kanvas lukisan di depan mata yang maha indah. Dan kini aku di sini jauh dari kesibukan kota dan tugas yang merantai perjalanan hidupku. Jauh dari bayangan bayangan hitam yang sering menggangu singkap singkap luka hidupku. Aku menghirup nafas dan ku lepaskan perlahan lahan. Di depan mata terdapat lautan siput siput putih dan cantik membanjiri ruang mata. Aku kutip satu satu dan mencari yang terbaik fosilnya. Kalau senang senang akan aku bingkaikan menjadi hiasan terindah di mata hatiku. Aku senyum lagi,menyusur keindahan pantai ini dan mengutip lagi satu persatu siput.

"Dahlah tu...macam kat KL takde siput" sapa krew ku

"Mana ada...kalau pun kat PD ke apa ke..mana ada banyak banyak macam ni"

Mereka gelak. Aku sengih. Begitu bagi kalian yang mungkin kurang menghargai hasil laut,tetapi aku benda sebeginilah yang sering menjadi 'hasil seni' di dalam rumahku dan menyemakkan pandangan mata bagi sesetengah mereka.

"Awat kak nak kutip siput tu...?" seorang kanak kanak lelaki menyapaku. Mungkin hairan.

"Kenapa,salah ka?" aku pandangnya dan senyum. Dia melihat hairan plastik di tanganku.

"Tak la salah,tapi pelik sikit la" sambil dia garu garu kepala.

"Pelik banyak kot". Aku senyum lagi. Kanak kanak kudus ini berjalan meninggalkanku sendirian. Dan aku meneruskan lagi mengutip siput di tepian pantai ini.

Hujung sana,ada sepasang pasangan muda mudi duduk di buaian mengadap laut. Aku labuhkan tubuh badan bersandar pada perahu yang tersadai di tepi pantai ini. Aku pandang laut luas,sayup. Ada nelayan nelayan kecil yang masih tegar mengharung badai di hujung sana mencari rezeki. Tulus keringat mereka padaku,malah lebih tulus dari kolar putih yang tersadai di bangunan bangunan tinggi megah. Kemudian kembali ke pantai membawa hasil lautan yang mungkin banyak,mungkin tidak.Dijual dan kemudian diagihkan kepada isteri untuk menjadi santapan pada malam itu. Sederhananya hidup mereka,tidak menuntut kesempurnaan dan materi. Pandanganku beralih kepada pasangan tadi,ada usik usik kecil dan ketawa kedengaran. Indahnya dilamun cinta dan indah bila cinta saling berbalas dan saling menyintai. Aku,pernahkah merasa sebegitu? Entah,aku keliru dengan cinta manusia. Sekeliru mereka juga menyintaiku. Yang aku tahu dan dapat kini hasil dari cinta manusia zuriat yang menghuni hatiku. InsyaAllah yang membawa sepotong Al Fatihah buatku di alam baqa. Aku buang jauh jauh rasa sedih itu kerana dengan mengingatnya hati aku menjadi sedih. Padahal saat ini pantai ini sudah mampu membuang aku dengan rasa sedih yang bertali temali dengan keindahannya.

"Tak nak balik ka"? Krew aku sudah memberi signal.

Aku sengih.

"Tu la rasa tak nak balik la". Sapaku

"Haishh...dok sini ja la"

Aku ketawa....

Ada sekawan burung burung pulang petang hinggap di tepi pantai ini. Mungkin mahu balik ke sarang mereka. Aku mahu balikkah,atau terus dari saat ke saat berteleku di pantai ini?

to be continued