Followers

Saturday, April 02, 2011

Sepanjang Jalan Kenangan 'Mak Tua' ;-(


sepupuku Rina anak bongsu Mak Tua...


Tanggal 16 March 2011. Pagi pagi lagi aku sudah dikejutkan dengan panggilan dan sms demi sms dari saudara mara,adik beradik,emak...semuanya 'Mak Tua dah meninggal'. Aku bukan tidak menjangkakan tetapi mengikut usia memang kami harus bersedia pada bila bila masa untuk meratapi akan pemergian insan yang satu ini dan kini masa itu telah tiba.

Ini pertama sekali di dalam hidupku baik di sebelah emak atau arwah ayah kehilangan ibu/bapa saudara. Tentunya kami sekeluarga amat terasa sekali dan kami masih hingga kini merasakan ianya umpama mimpi. Untuk menyebut 'Arwah' juga masih tidak sampai hati kerana aku tetap masih merasakan Mak Tua itu ada. Entahlah...yang pastinya raya kali ini akan pudar sedikit kemeriahannya. Mak Tua yang rajin mengunjungi adik beradiknya. Walau apa sekali pun beliau tetap hadir tidak kira raya ke 2,3 atau seterusnya. Beliaulah satu satunya kakak yang sulung kepada adik adiknya,ibu saudara sulung kami yang sangat menitik beratkan hubungan kekeluargaan. Malah sering juga dia berpesan pada aku apa pun jagalah hubungan kekeluargaan itu sebaik mungkin.

Sepanjang jalan kenangan,tidak keterlaluan untuk aku mengimbas kenangan bersama insan yang ku kasihi ini. Sedari kecil dulu kerana aku dibesarkan dari tangan arwah Opah maka aku kerap ke rumah Mak Tua bila cuti sekolah. Mak Tua garang semasa mudanya dan itulah resepinya membentuk anak anaknya berjaya di dalam kehidupan. Masa menginjak remaja,bila beliau sering pulang ke kampung...beliau sering perasan akan tubuhku,kurus,cengkung atau sebaliknya. Menginjak dewasa lagi setelah menjadi isteri orang beliau ada mengajarkanku akan senaman dan sedikit tips menjaga suami.

Satu insiden yang aku dan anak anak tidak boleh lupa. Beberapa tahun dulu,rasanya hari minggu. Dalam santai baring bersama anak anak,aku dikejutkan dengan salam dari...siapa lagi kalau bukan Mak Tua dan Pak Tua! Terkejut aku mereka menziarahi aku tiga beranak di rumah usangku ini sekadar bertanya khabar. Betapa prihatinnya ibu saudara kesayanganku yang seorang ini akan nasib satu satunya anak buahnya yang bergelar ibu tunggal di dalam keluarga. Sempat dia meniupkan kata kata semangat juang buatku dan sebelum balik ada RM50 ketika aku bersalam dengannya. Ya Tuhan,air mataku menitik ketika itu..betapalah itu yang aku rindui hingga saat ini.

Raya tahun 2010 sangat bererti buatku kerana itulah satu satunya saat akhir beraya bersama Mak Tua. Lama pulak masa tu kami beraya,tak cukup dari rumah Mak Tua di Cheras kami ke rumah Kak Ngah Salwa menantunya pula di Bdr Tasik Permaisuri. Sebelum balik aku sudah menyalaminya dan menciumnya. Kemudian entah kenapa bila balik aku menciumnya pula untuk kali ke dua. Rupa rupanya itu mungkin petanda,itulah raya terakhir antara kami :-(.

Menerima perkhabaran akan ketiadaannya,perjalanan dari rumahku-Bidor terasa amat lama. Aku risau tidak sempat untuk menatap wajahnya buat kali terakhir. Sampai di Bidor rumahnya aku sudah melihat segalanya terbujur kaku. Mak Tua yang sering memberikan aku kata kata juang dan semangat seorang wanita,Mak Tua yang ku kagumi kerana kepimpinannya,keibuannya dan yang ku kagumi kerana kecantikannya sudah tidak ada lagi. Aku membacakan Yassin buatnya.Aku lihat Ina bengkak bengkak mata pastinya kesan menangis dan abang abangnya yakni sepupuku begitu tabah mendepani semua ini. Menurut Pak Tua,Mak Tua meninggal di dalam bilik air pagi tadi ketika mahu mengambil wuduk untuk Subuh. Curahan air yang tanpa henti membuatkan Pak Tua curiga dan bila dilihat...jasad Mak Tua sudah kaku di situ. Mereka yang balik dari Cheras ke rumah kampung di Bidor adalah semata mata mahu menguruskan HASIL. Tidak sangka Mak Tua seumpama mahu meninggal di tanah kelahirannya. Selesai urusan semuanya jenazah di sembahyangkan dan kemudian di bawa ke tanah perkuburan yang berhampiran. Saat ini aku melihat betapa untungnya mempunyai ramai anak lelaki. Yang mengambus tanah kubur Mak Tua semua anak lelakinya. Mak Tua,kami pasti Mak Tua aman di sana kerana kebaikan Mak Tua semasa hayat sangat sangat terpatri di hati kami. Kami pasti Mak Tua ada tempat yang baik kerana budi Mak Tua pada seisi keluarga menyatukan kita semua menjadi doa dari kami buat kami mengingati satu satunya bonda saudara sulung yang sangat kami sayangi. Untuk Mak Tua,damailah di sana dan kami sangat menyayangimu.

AL FATIHAH,AL FATIHAH,AL FATIHAH..........

1 comment:

1976 bundle's said...

al fatihah buat yang dah pergi...