Followers

Monday, February 21, 2011

Ayah

Usai solat Subuh setelah mengemas sedikit ruang rumah aku sudah nekad mahu ke pusara ayah. Minggu lalu dalam perjalanan dan sesat ke pejabat Kak Nora (penyanyi) aku terlintas lalu di hadapan tanah perkuburan arwah ayah. Hati aku dirundung sebak kerana sudah lama aku tidak jenguk pusara ayah. Dulu aku sudah menetapkan kepada diriku sendiri yang aku akan ke pusara itu setiap bulan. Nyata itu janji manusia dan janji anak yang sentiasa sibuk dengan kesibukan dunia. Maafkan Aida ayah..

Kali ini tidak boleh tidak aku harus ke pusara ayah. Setelah bersiap,aku capai jag air dan isi air. Aku ambil surah Yassin atas rak bukuku. Aku start engin kereta dan kereta aku menuju ke pusara ayah yang lebih kurang 15 minit dari rumahku.

Jalan tidak begitu sibuk kerana pada hari Ahad sebegini dan waktu sebegini masih ramai yang berteleku di rumah. Kereta aku belokkan ke arah tanah perkuburan. Aku parking betul betul depan gate. Tidak ada sesiapa di kubur itu melainkan seorang yang membasuh kakinya di paip di tandas kubur tersebut. Jauh sayup sayup aku lihat seorang penjaga kubur sedang menyapu daun daun yang jatuh berserakan. Salam aku hulurkan kepada kesemua penghuni. Bau mesra kemboja dan bunga melur yang sesetengahnya ditanam di kubur membuatkan aku merasakan diraikan. Jauh aku sudah nampak kubur arwah ayah. Dan aku tidak menidakkan sebak bila menghampiri kubur itu. "Aida datang ayah,untuk jenguk pusara ayah ini". Aku berkata2 dalam hati. Ke dua batu nesan di kepala dan kaki itu aku usap. Aku letakkan kembali batu nesan pada sebelah atas ayah elok2. Batu nesan itu memang sudah patah,mungkin kerana sudah lama. Aku usap batu nesan itu,tulisannya juga sudah hilang dan tidak nampak...kecuali bila aku merasa ayat2 jawi itu dengan tangan. Sejuk batu nesan ayah,sesejuk kasihnya padaku sebagai satu satunya zuriatnya. Aku rindu ayah,aku sungguh rindu.

Alunan bacaan Yassin aku alunkan di pusara ayah. Sambil itu bacaanku tersekat sekat kerana aku tidak mampu menepis air mata yang sudah mula jatuh. Dari pusara ayah aku nampak sedikit pemandangan bandar PJ. Kubur ayah atas bukit. Ada angin pagi sepoi sepoi bahasa menampar pipiku yang basah.

"Adik mau cuci kuburkah"?

Aku dikejutkan oleh seorang pemuda India. Dalam hati aku suka suka dia masuk dalam kubur Islam ini.

"Cucilah adik.."

Aku pandang dia. Bacaan Yassin ku terhenti.

"Eh takpe. Terima kasih ya. Saya boleh cuci sendiri"

"Ok,Ok"

Aku diam dan teruskan bacaan. Usai bacaan aku mencabut rumput rumput yang tumbuh meliar atas kubur ayah. Nampak kesan penjaga kubur meracun rumput2 ini. Aku bersihkan keliling simen rangka kubur ayah. Aku tuang air yang dibawa dari rumah tadi. Aku sudah mahu pergi. Tapi seakan ayah memerhatikan aku untuk berlama lama di pusara itu. Aku tidak mampu menahan lagi air mata ini.

"Ayah,Aida akan datang lagi..InsyaAllah"

Dan aku umpama nampak ayah tersenyum kepadaku sambil mengusap gusap rambutku. Aku rindu ayah...

Saturday, February 19, 2011

Jika Aku Sudah Tiada

Apa akan jadi bila aku sudah tidak ada di dunia ini. Adakah blog ini masih kalian scroll untuk membaca kisah perjalanan hidupku satu persatu? Kenapa aku cakap macam ni ya...sebab kita tidak tahu bila kita mati. Tapi aku mohon pada Allah agar biarlah nyawaku ini dicabut saat '2 Malaikat Kecilku' itu sudah berdikari dan ada orang menjaga mereka,bila sudah diijabkabulkan. Tak sampai rasanya hatiku mengingatkan jika aku pergi dulu sebelum anak anak sempat berdikari,ke mana mereka harus pergi dan siapakah yang akan melihat mereka ketika aku sudah tiada? Aku tidak boleh berfikir tentang itu kerana sebak sentiasa datang bertali temali. Jika aku sudah tidak ada siapa yang akan melihat anak anakku itu? Emak sudah tua dan kudratnya tidak seberapa,begitu juga dengan Abah (bapa tiri). Adik adik pula ada keluarga dan kehidupan sendiri dan mereka bukan orang senang. Keluarga sebelah ayah anak anakku kurang dan tidak mesra dengan mereka dan apa pun biarlah mereka bersama dengan keluargaku kerana sudah biasa. Lantas ke mana mereka? Aku pernah bertanyakan tentang ini pada kawan kawan rapat,mereka cakap..."Yan,ko tak perlu pikir pasal itu,itu semua kuasa Tuhan,anak2 ini adalah malaikat menjaga dia". Aku diam...ya aku percaya Malaikat selama ini menjaga anak aku. Malah saat aku meninggalkan anak anak di asrama, saat aku bepergian jauh aku sering memanjatkan doa meminta 'malaikat malaikat' menjaga anakku. Tapi kalau benar jika aku sudah tidak ada,bagaimana...? Aku pernah cakap dengan anak anak pasal ini. Bila anak anak nakal,aku sering katakan..." Ye lah sekarang Umi hidup lagi,esok bila Umi takde tau la korang...nak duduk dengan siapa". Anak anakku terus cakap,"Janganlah cakap macam tu Umi,kita ada Umi aje". Alahai hati ibu mana yang tidak sebak dan ianya menjadi sebak lagi bila aku sering memikirkan siapa yang akan menjaga mereka jika aku sudah berpindah dunia...? Tapi aku mengimpikan kerana aku punya seorang sahaja anak lelaki,aku mahu dia memandikan,mengafankan,menyembahyangkan jenazahku dan menghantar jasadku ke liang lahad seperti anak anak lelaki lain. Mampukah dikau wahai puteraku menggalas tanggungjawab ini sebagai penghargaan terakhir di dunia terhadap Umimu ini. Justeru hiasilah hati kita dengan iman dan takwa. Bersihkan hati kita anak anak Umi. Kerana itu Umi berusaha menghantar kalian ke sekolah Maahad dan Tahfiz yang baik. Berusaha juga Umi dari hari ke hari kita membersihkan hati agar dunia ini menjadi sederhana dan putih pada mata kita.

Thursday, February 10, 2011

Terpanggil

dan bila pecahan pecahan kenangan menular lantas merobekkan luka sehingga tinggal menjadi akasia yang samar2 di telan rembulan
jiwa itu menjadi kental kerana luka,kerana sisa sisa duka yang tidak pernah padam2,
apatah lagi bila jauh sayup sayup aku cuba menyelongkar,menyelami makna insani...


Haha...apa yang aku merepek ni lol. Beberapa hari lalu aku di panggil oleh seseorang dari produksi yang aku kenal. Katanya seorang direktor,kawanku juga yang mencadangkan namaku...erk! Pertemuan menyusul dengan nama nama besar ini padaku dalam pengkhususan doko dan drama. Peluang yang diberikan kepadaku itu padaku membuatkan aku merasakan ianya mungkin memberikan satu lagi katalis untuk aku terus kehadapan. Paling paling setapak lagi dari tahap sekarang. Paling nyata bila aku boleh menulis ke dua dua medium. Seronoknya! Jadi sekarang aku berusaha memenuhi yang satu ini proposal demi proposal bagi mengisi slot yang mereka ada. Mereka tidak menjanjikan apa apa berunsur materi dan ganjaran istimewa padaku kerana segalanya tergantung kepada usahaku menarik perhatian mereka dengan proposal proposal. So tugas aku sekarang memberikan sebanyak mungkin proposal. Dan now mereka memberikan aku 1 slot dari stesen TV terkemuka untuk aku buktikan dan rebut peluang ini. Dan kini aku berusaha menyudahkan yang bernama proposal untuk tujuan itu. Argh bukan mudah jugak mengkaji dan menulis cerita yang bukan sangat dalam bidang aku...haha. Tapi kerana passion ini,aku akan berlari ke langit demi cita cita. Untuk produksi besar dan gah itu THANKS FOR EVERYTHINGS,sudi memberi aku setitis ruang di dalam penghasilan daripada hasil karya kalian. I'll try my best! :-)

Tuesday, February 01, 2011

www.naqia.com.my

Tadi aku dan Imam Muda Taufek mengunjungi pasangan usahawan suami isteri berpangkat Prof Dato dalam rangka pengenalan untuk program baru. Syukur aku diketemukan dengan insan mulia ini. Susah untuk berjumpa dengan usahawan islam yang hatinya dididik kemas berdakwah dan mendidik dalam setiap testimoni pada pelanggannya. Sukar juga untuk menemui usahawan muslim yang tidak mengutamakan keuntungan dalam setiap langkah perniagaannya. Subhanallah,lihatlah pada perniagaan mereka yang sudah berusia 10 tahun. Walau tidak kaya,tetapi rezeki itu sentiasa ada dan betapa meriahnya hidup mereka bila produk yang dijual dan dipromosikan berasaskan ayat ayat Al Quran,Air Zam Zam,Madu dan Habbatus Sauda. Aku dengan asyik mendengar pasangan suami isteri ini membiayai sebuah tahfiz yang segalanya disediakan secara percuma,cuma tidak dihargai oleh sang penerima. Asyik masyuk juga aku mendengar akan keajaiban mereka meredah onak dan pelbagai duri. Namun berkat apa yang mereka perjuangkan dan jual ianya langsung tidak membuatkan mereka berkudis dalam meniti ranjau sepanjang perjalanan. Buat Dato Hj Isnin & Prof Dato Zamila yakni pengusaha barangan berasaskan Air Zam Zam,Madu dan Musoffa ,aku ucapkan tahniah kerana berjaya suci dalam perniagaan mereka dan berjaya mensucikan hati mereka. Terima kasih atas cenderahati buat saya. Terima kasih juga atas input dan peluang. InsyaAllah...