Followers

Monday, December 16, 2013

Pergi....AL FATIHAH

Mendengar perkhabaran dari insan rapat dalam hidup saya akan keadaan beliau ketika itu yang diserang stroke atau angin ahmar buat pertama kalinya, membuatkan saya tergamam. Saya tidak pernah berjumpa dengannya, hanya sekadar mendengar cerita-cerita dari insan yang rapat dengan saya itu perihalnya. Yang saya kira seorang yang tabah dan melalui hari-harinya dengan penuh redha.

Semenjak itu beliau menjadi penghuni hospital yang saya juga tidak tahu sama ada hospital swasta atau kerajaan. Mungkin hospital swasta kerana keberadaan keluarga dan suami. Dan anak-anak serta mungkin suami menjadi penghuni setia wad ICU dan biasa di situ. Saya difahamkan beliau keluar masuk. Keadaan stabil dan tidak stabil. Saya meniup doa jauh-jauh untuk beliau, walau beliau tidak pernah mengenali saya.

Saya godek-godek buku tahlil dan yassin milik saya di rumah. Ada di situ tertera doa stroke yang saya terlepas pandang sebelum ini. Saya membacanya setiap minggu bila ada kelapangan. Saya doakan beliau. Walau, insan rapat dengan saya itu dan ada pertalian darah eratnya dengan beliau menyatakan agar saya tidak payah membacanya, kerana dia sendiri tidak membacanya walau itu darah dagingnya. Saya diam dan kecewa. Namun saya terus membaca.

Hari ini saya menerima perkhabaran beliau sudah tiada. Saya terdiam, seolah seluruh objek keliling saya seakan terhenti. Iya, saya bukan mengenalinya. Beliau juga tidak mengenali saya. Tetapi saya menitip doa kepadanya selama ini, walau beliau tidak tahu. Saya juga sering menitipkan doa 'penyembuh' buat darah dagingnya yang rapat dengan saya. Iya memang antara kami tidak saling mengenali, tetapi saya tetap sebak menerima pemergian beliau. Tetap saya bacakan tahlilnya di kejauhan ini.

Al Fatihah. Semoga kita ketemu dalam doa-doa hujung sejadah, doa-doa di sepertiga malam. Dan semoga dijumpakan dalam mimpi. Itu pinta saya. Saya akan berusaha 'menjaga' selagi ada nyawa dan hayat saya.
Semoga amalanmu, sedekah dan amal jariah serta doa anak-anak yang soleh dan solehah memandu ke Jannah. Semoga suatu masa kita akan bertemu di pintu syurga mengenang dan bercerita akan insan yang sama.




No comments: