Followers

Monday, February 02, 2009

Setahun Selepas LOLOQ Pergi


Nukilan dari seorang sahabat buat sahabat,

SETAHUN sejak Loloq pergi, aku melepaskan keterbiasaan sedikit demi sedikit.
Keterbiasaan melalaikan aku pada sesuatu yang tidak biasa.
Kerana keterbiasaanlah hampir hari-hariku terasa Loloq akan hadir menyambung bicara jam 3 pagi, semalam di Warung Awe atau Yeop dekat pejabat Luncai Emas berbicara penemuan-penemuan pencetus idea atau sekadar bicara prestasi Manchester United yang kekadang mencemaskan.
Kemudian mengingatkannya tentang lirik yang seharusnya siap dua minggu lepas.
Pernah ketika umur kami menjangkau 40 tahun, kami berbicara tentang mati.
Lalu sentuh kematian P. Ramlee yang masih agak muda. Seniman mati muda ramai.
Khairul Anwar mati muda walau dia mahu hidup seribu tahun lagi. Kita mahu hidup seribu tahun lagi.
Namun, itu hanyalah penyataan puitis dan nyatanya ajal bergaul dengan fitrah.
Buat diriku, seniman terus hidup selagi karyanya hidup.
Loloq adalah seniman dan sahabat karibku. Lebih dari itu, dia adalah 'cerminku' yang kini hilang.
Aku tak pasti dia pemujaku, tapi aku hampir pasti dia pengkritik aku yang setia.
Zaman pencarian di Singapura dekat 30 tahun dahulu menemukan aku dengannya.
Gayanya yang menangkap, bercermin mata ala John Lennon dan gigi ala Tompel sukar dilupakan.
Dia telah lalui zaman gelap. Allah sahaja yang tahu sejauh mana dia telah merantau tapi dia menjelma seperti burung api yang gemerlap.
Aku akui waktu itu aku hanya pelajar. Namun, aku telah menghasilkan album Kembara dan dia cuba membongkar pemikiranku.
Dia penggemar Beatles dan Bob Dylan seperti aku.
Umur kami sama. Hidup kami ala hippies lalu reaksi kimia pun tercerna.
Loloq datang dan pergi dalam hidupku sehingga dia muncul semula di Sungai Buluh, sewaktu aku mula membina tapak Luncai Emas 15 tahun dahulu.
Itu pun dengan keresahan perantaunya sehingga bersama kawan-kawan lain menetap di rumah sewa di belakang pejabat lama Luncai Emas.
Bagaimana dia mula mengambil berat dalam penulisan adalah keanehan.
Aku sedar dia pembaca tetapi menulis?Namun, dia mula menulis dengan kumpulan percubaannya, Rastari waktu di Singapura.
Kapal Belayar dan Wak Jono adalah antara lirik pertama yang ditulisnya.
Walau kurang sempurna, ia menghidupkan satu aliran muzik indie dengan suaranya dapat didengar dalam beberapa trek album itu.
Loloq hilang agak lama lepas itu, sehingga dia muncul dengan lirik Insan & Manikam dalam albumku.
Sejak itu dia tidak melihat belakang lagi. Dalam masa-masa yang sama 'menikah' dan membuat 'duit' dari album seterusnya seperti Ella dan Search.
Kekadang dia menyatakan kerisauannya dengan kestabilan hidup.
Takut kalau perantauannya akan berakhir seperti orang biasa.
Loloq, kekadang Nurbisa, Abdullah Romani, kekadang Heikal dan Kristo Bimbo adalah ironi pada Rosli Khamis.
Dia adalah jegela yang bermainkan watak- watak, namun, mencari dirinya yang sebenar.
Loloq memasuki dunia seni hiburan ini dengan semangat menambah warnanya dengan cara tersendiri.
Walau bagai seorang penulis lirik suaranya lebih lantang dan dirasai daripada kebanyakan penyanyi dan pencipta lagu.
Dia adalah karakter yang sukar dilupakan. Siapa yang mengenalinya tidak akan lupa dengan gayanya, tawanya, pemakaian fesyen terkini dan ranggi serta anting-anting di telinga.
Tapi yang mendalami jiwanya, akan mengenal manusiawi bernama Loloq.
Rupanya perantauan Loloq tak habis lagi. Dia kini merantau ke satu daerah baka melepasi fana dan lagu-lagunya adalah gema karya rasanya di bumi ini.
123 Do Re Mi
Apa nak jadi
Alif Bata A B C
Apa nak jadi
Akan terjadi
Hujan pasti berhenti
(Petikan lirik lagu Apokalips oleh Loloq)

Rahmat Allah Untukmu Loloq,
Daripada aku,
M. Nasir


Aku sebak membaca tulisan Abg Nasir ini tentang Loloq.Seperti yang kita ketahui M.Nasir dan Loloq itu umpama sukar dipisahkan. Ironinya mereka saling mendakap antara satu sama lain sedari awal lagi pembabitan ke dua duanya dalam bidang ini. Karyanya memang sudah menjadi darah daging dan sudah menjadi akrab dengan halwa telingaku dan pembacaanku sedari menginjak remaja lagi. Aku antara yang membesar dengan karya karyanya,dengan lirik liriknya yang mustajab itu. Berjumpa pun dengan Abg Loloq hanya sesekali sahaja. Tapi aku teringat kali terakhir aku berjumpanya di rumah Abg Mael/Kak Ida lewat jamuan hari raya setahun sebelum dia pergi. Ketika itu kami berpapasan,dia mahu balik dan aku baru sampai.Sempat dia menyapaku dan aku sempat memotretkan diri bersamanya. Rupa rupanya itu jamuan hari raya terakhir ke rumah Abg Mael/Kak Ida yang dikunjunginya setiap tahun. Mendengar perkhabaran akan pemergiannya aku terasa benar benar kosong kala itu. Ain adikku di Luncai memberitahu satu persatu saat kemasukannya ke Hospital Damansara kala itu buatkan kami sekalian gusar dan gusar itu bersatu menjadi sebak bila mana mendengar akan pemergiannya beberapa hari selepas itu. Teringat bengkel yang kami rancangkan bersama sama untuk sesiapa yang berminat dalam penulisan lirik agar menjadi perintis pada usaha Loloq.Bengkel itu akan kami laksanakan dengan kerjasama Luncai insyaALLAH. Mungkin ianya nanti akan menjadi Trivia dalam mengingati pelopor penulis lirik terhebat ini.
Berkesempatan ke rumah Abg Mael dan Kak Ida sekali lagi buatku menyapa dan bersembang panjang dengan insan yang paling akrab di sisi arwah ini,siapa lagi kalau bukan isterinya Kak Riri. Banyak yang kami kongsikan bersama. Kak Riri dalam tenang dan tabahnya ketawa bercerita akan favourite2 dan kebiasaan tabiat Abg Loloq semasa hayatnya. Bagaimana mesranya dengan anak anaknya. Melihat anak anak Abg Loloq yang berlari dengan riangnya di rumah Abg Mael ketika itu aku memandang anak sulung perempuannya yang saling tidak tumpah akan muka arwah. Kecil lagi mereka harus ditinggalkan atas nama takdir oleh insan bernama bapa. Perjuangan Kak Riri katakan padaku..dan kita harus tabah dan tidak patut menyalahkan keadaan. Itu takdir dan pastinya kita jua akan menyusul. Kak Riri sempat menyanyikan bait bait antara lirik terakhir arwah,dalam lagu ini...

Lirik Lagu HERO WAYANG nyanyian Siti Sairah

Penampilan Khas:
Damian VE, Cham VE, Shah VE & Dali Ahli Fiqir

Malam memang sepi
Apa guna menangis
Barang sudah jadi
Apa guna menangis

Esok ada lagi
Apa guna menangis
Nasib tukar ganti
Apa guna menangis

ver 1
Ramai yang tahu
Ramai yang faham
Tapi tak ramai sanggup mengerti

Ramai yang tunjuk
Ramai yang ajar
Tapi tak ramai yang mendengar

ver 2
Ramai yang datang
Ramai yang pesan
Tapi tak ramai yang sanggup membantu
Akhirnya tinggal
Kita sendiri

korus:
Malam bawa pagi
Apa guna menangis
Kasih datang pergi
Apa guna menangis

Esok ada hari
Apa guna menangis
Boleh jumpa lagi
Apa guna (kau) menangis

ver 1

Ramai yang tahu
Ramai yang faham
Tapi tak ramai sanggup mengerti

Akhirnya kita sendiri...Tanpa kita sedar setahun sudah berlalu pergi. Loloq tidak pernah hilang dalam ingatan kita, karya karyanya mencapai tahap membanggakan kita di sini,lirik liriknya menjadi penglipur lara saat kita ketawa mahu pun derita.Malah setahun sudah perginya dia, karya karyanya masih dicalonkan ke dalam AJL baru baru ini.Untuk Abg Loloq,Rosli Bin Khamis..AL-FATIHAH.Tenanglah di sana,dari iringan doa kami di sini...

2 comments:

Algojo said...

Al-Fatihah untuk arwah Loloq.. Seorang sangat dikagumi... Amin..

mjihad88 said...

Amin..