Followers

Monday, June 15, 2009

Skrip lemah, penulis tak bertauliah

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

MAJLIS ramah mesra Swam menjadi medan kepada penerbit dan pemilik saluran televisyen mewujudkan jaringan kerjasama.

Kebanyakan drama tempatan asyik ketengah idea tidak universal

TERLALU banyak kelemahan dalam penulisan skrip membuatkan kualiti penerbitan televisyen dan filem tempatan gagal menerobos pasaran luar, sebaliknya cuma mampu megah di negara sendiri.

Presiden Persatuan Penulis Skrip Malaysia (Swam), Ismail Ahmad berkata, kegagalan memahami struktur penulisan skrip membuatkan produk tempatan gagal difahami lalu ditolak penonton luar kerana garapannya yang mengelirukan.

Ahmad berkata, penerbitan asing menekankan kepentingan struktur penulisan skrip malangnya elemen itu dipinggirkan penulis tempatan menyebabkan produk kita tidak mampu berkembang.

Lebih membimbangkan keghairahan penerbit serta stesen televisyen mengaut keuntungan menghadirkan ramai penulis tidak bertauliah dengan jumlah bayaran kecil.

Situasi itu kata Ahmad, menyebabkan program tempatan mengutamakan penceritaan serta konflik yang tidak universal dan sukar difahami masyarakat luar.


“Struktur penulisan drama tempatan masih terikut dengan struktur penulisan soap opera sedangkan ia tidak lagi popular di Amerika Syarikat.

“Skrip yang baik harus mendekati budaya, falsafah serta ideologi sesuatu bangsa malangnya kebanyakan drama tempatan asyik mengetengahkan idea yang tidak universal.

“Barangkali ia tidak memberi masalah kepada penonton tempatan untuk memahami tetapi apabila dipersembahkan kepada orang luar, mereka akan menolak kerana ia tidak mencerminkan unsur sejagat.

“Pemikiran seperti ini harus ditukar supaya produk tempatan mampu dipasarkan di negara luar tetapi saya akui ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan,” katanya.

Ditemui di majlis Jom Mesra Bersama Swam, Ahmad turut melontarkan pertanyaan, sampai bila masyarakat tempatan mahu menjadi pembeli produk asing sehinggakan stesen televisyen ketika ini dibanjiri penerbitan luar.

Katanya, sudah tiba masanya penulis serta penerbit tempatan memikirkan idea untuk membawa produk tempatan ke tahap antarabangsa sekali gus memperkenalkan Malaysia sebagai negara pembekal untuk produksi televisyen dan filem.

Sehubungan itu katanya, menerusi acara itu mereka turut membuka ruang kepada penerbit serta eksekutif televisyen untuk mendapatkan idea baru, cerita menarik dan lakon layar hebat dengan adanya sesi ‘pitching’ secara terbuka.

Sesi keempat pernah dianjurkan Swam itu secara tidak langsung mendedahkan kepada penulis tempatan seni serta teknik ‘pitching’ supaya penerbit tertarik dengan idea yang dipersembahkan.

“Malangnya ketika Swam menganjurkan kursus berkaitan perkara ini, ramai menolak tanpa menyedari jika ingin meneroka jauh memahami teknik ‘pitching’ sangat penting.

“Di negara luar, sistem ini sudah lama dipraktikkan tetapi kita agak ketinggalan dan masih terkial-kial mencari formula bagaimana mahu menjual idea berpotensi kepada penerbit dan stesen televisyen,” katanya.

Ismail bagaimanapun, akur mereka tidak mempunyai hak serta kuasa untuk mewajibkan semua penulis skrip bernaung di bawah payung Swam.

Namun, Ismail menggesa stesen televisyen supaya menggalakkan penulis skrip menyertai persatuan itu seterusnya bersama membantu dalam penghasilan skrip berkualiti.

“Kebanyakan penulis yang tidak bernaung di bawah Swam sering memberikan skrip yang longgar dan kurang mengesankan. Disebabkan itu, penonton enggan menonton produksi baru sebaliknya selesa menyaksikan filem lama seperti garapan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“Penyampaiannya yang menarik dan mudah difahami membuatkan semua penonton menyukainya, tidak kira apa bangsa walaupun mereka tidak memahami bahasa yang dituturkan.

“Malangnya elemen itu sudah jarang ditemui dalam produksi tempatan. Kelemahan lain adalah pada susunan dialog yang kurang memukau, bahkan tidak diimbangi dengan unsur sastera.

“Dialog yang menarik mampu mencantikkan sesebuah produksi tetapi ketika ini, drama kita kelam kabut dan lebih menyedihkan tidak ramai yang mahu menimba ilmu sedangkan ia penting untuk memajukan diri,” katanya.

Ahmad turut menyeru penerbit dan stesen televisyen supaya menghormati karya penulis serta jangan terlalu menekan mereka dengan bayaran tidak berpatutan hingga merosakkan minat untuk menghasilkan karya bermutu.

Katanya, kebanyakan penulis terpaksa tunduk kepada penerbit dan tidak dapat mempertahankan pendirian mereka kerana bimbang tidak menerima bayaran.

“Kami sudah menyiapkan bayaran yang standard untuk skrip merangkumi penulisan telefilem, drama berepisod namun malangnya penerbit kebanyakan penerbit tidak memahami masalah ini.

“Penulis juga disaran supaya bernaung di bawah Swam supaya karya mereka dihargai dan dilindungi, malangnya ramai menolak kerana tidak menghadapi masalah dalam berkarya,” katanya.

Ketika ini, Swam mempunyai 250 ahli berdaftar dengan 100 ahli yang aktif menulis .

Sepanjang 13 tahun penubuhannya, Swam mampu berbangga dengan kejayaan yang dicipta ahlinya seperti Datin Paduka Shuhaimi Baba menerusi Pontianak Harum Sundal Malam dan 1957: Hati Malaya; Datuk Yusof Haslam; Habsah Hassan dan Mohd Noor Kadir.

Layar kaca pula membuka ruang kepada penulis seperti Mohd Noor Kadir menerusi Cinta Antara Benua, Cinderella dan Taj Mahal; selain Nazli Jaafar (Anak Betong), Sujiah Salleh (Dari Mata Arisa) dan Rohizan Ramli (Mr Mama).

No comments: