Followers

Monday, October 25, 2010

Selepas 16 tahun terpisah;Cikgu Azizan,Cikgu Fairuz & Cikgu Naimah



Siapa yang tidak teruja berjumpa seseorang yang pernah mendidik kita suatu ketika dahulu? Tempoh 16 tahun perpisahan,begitu banyak momen momen kehidupan yang merentasi fasa fasa perjalanan hidup. Bagi aku antara pendidik dan anak murid,darahnya mengalir umpama nadi nadi yang bertali temali menjadi tiupan sebuah kehidupan. Dan tanpa mereka,tentunya kita tidak bisa hingga ke 'sini' dan tanpa mereka aku sangat pasti kita entah ke mana pincang dan celanya melawan dan mengikut arus. Teringat kata kata emak,cikgu antara yang perlu dikasihi dan dihormati selepas ibu bapa! Itu yang aku pegang hingga kini. Zaman persekolahanku dahulu,kami sangat sangat menghargai apa itu 'cikgu' dan peranannya. Acap kali ketika hari guru terutamanya sebutlah mana mana cikgu di sekolahku paling tidak akan menerima akan key chain kecil. Memang murah harganya,tapi itu tandanya kami 'menyayangi'.

Tugasan ber'Musafir' di bumi Alor Star tidak ku lepaskan sama sekali untuk menemui insan insan kesayangan yang bertakhta di hatiku sebagai pendidik. Umpama bulan jatuh ke riba bila aku memang dari KL lagi sudah merancang apa cara sekali pun menemui cikgu cikguku ini. Alhamdulillah Allah memudahkan nawaituku itu. Awalnya aku hanya memberitahu Cikgu Azizan,kemudiannya aku baru teringat dan pantas mengirim pesanan ke dalam inbox FB Cikgu Fairuz dan Cikgu Naimah yang nombor telefonnya di dalam telefon ku yang telah rosak. Aku amat berharap benar dapat berjumpa dengan wajah wajah ini yang sekian lama aku rindui.

Alangkah terujanya berjumpa dengan Cikgu Azizan,guru sejarah yang menjadi favouriteku suatu ketika dahulu. Almaklum untuk menyintai sejarah amat memerlukan ketabahan yang tinggi kerana subjek itu sendiri banyak bermain dengan fakta dan nama nama yang ada di mana mana helaian. Tetapi cikgu yang seorang ini amat menyenangkan kami sekalian. Masa itu Cikgu Azizan menjadi fav di kalangan pelajar pelajar kerana dia seorang yang berbudi bahasa dan tidak pernah meninggi suara. Cikgu yang comel dan berkulit cerah ini masih kekal terbayang bayang di birai mata. Aku juga masih ingat tulisan Cikgu Azizan yang cantik itu menulis di papan hitam. Bila tulisan cikgu cantik,maka kami anak anak murid selesa menyalinnya ke dalam buku catatan :-).Masih terbayang bayang di ruang mata akan cikgu Azizan yang sesuai benar berkemeja merah jambu dan berseluar putih. Semuanya masih segar di dalam ingatan,walau ianya sudah berlalu 16 tahun lamanya. Tidak ada kata yang mampu ku ungkap bila berjumpa dengan cikgu yang seorang ini. Hanya,terima kasih Cikgu,Sejarah Azian dapat juga credit yang teratas walau bukan flying colours. Terima kasih sebab ingat Azian lagi. Malu sungguh bila cikgu kata,Azian ni 'budak baik dan pendiam' dalam sekolah. Alahai....betapa tajamnya memori Cikgu.

Pertemuan diatur dan aku berkesempatan dengan Cikgu Azizan menemui Cikgu Fairuz. Ini guru kelasku ketika di Tingkatan Satu dan Guru Geografi semasa Tingkatan 1 & 2. Alhamdulillah aku juga menyintai mata pelajaran Geografi dalam ramai murid murid tidak meminatinya. Masih segar diingatan harus mengingat setiap satu rumah di kampungku untuk dilukis ke dalam peta penempatan,mengira kereta yang lalu lalang di depan sekolah dan pelbagai lagi tugasan lain. Cikgu Fairuz seorang yang tidak banyak cakap dan tidak pernah juga garang kepada kami semua. Pernah satu ketika,aku nampak Cikgu Fairuz memarahi kami satu kelas kerana beberapa murid 'nakal' berbuat bising dan tidak mendengar katanya. Ada air mata yang ku lihat pada matanya. Beberapa pelajar perempuan ketika itu di dalam kelasku berbisik sesama sendiri melihat Cikgu Fairuz. Kasihan Cikgu dan aku sedar itu tanda anak murid tidak mendengar kata katanya. Seisi kelas diam,bila Cikgu Fairuz berlalu. Rasa simpati menular ke seluruh urat nadiku. Mengapa Cikgu yang seorang ini mesti dilukai hatinya,sedangkan meninggi suara kepada kami seisi kelas pun dia tidak pernah. Azian lupa nak bagitahu Cikgu pada pertemuan tempoh hari. Tiba tiba ini baru Azian teringat. Tiba tiba pula Azian teringat tulisan cikgu yang cantik. Agaknya semua tulisan cikgu cantik cantik ya..:-). Cikgu tak banyak berubah,masih seperti dahulu.

Usai pertemuan aku sempat mengucup tangan ke dua dua guru ini. Tidak ada kata yang mampu ku balas. Sebak bertali temali di relung hati. Sebak yang tidak mampu aku ucapkan,cuma aku bijak tidak mempamerkannya di ruang mata. Hanya Allah yang tahu betapa rasa terima kasihku,rasa kasih sayangku,rasa rinduku dan rasa hormatku kepada kalian yang tidak mampu ku rungkai dengan kata kata. Setiap masa Azian mendoakan kesejahteraan cikgu cikgu Azian ini yang sentiasa kekal dalam ingatan Azian.

Perjalanan ke KL,aku singgah sebentar untuk menemui Cikgu kesayangan yang seorang ini 'Cikgu Naimah'. Masih terngiang ngiang,masih terbayang bayang jerit suara,bebelan dan sifat kelakar Cikgu yang seorang ini. Aku sangat rindukan cikgu yang comel ini. Sungguh rindu. Sifat menyintai mata pelajaran BM dari dulu hingga selamanya menjadikan aku rapat dengan Cikgu BM. Mungkin kerana itu aku bergelar 'Penulis Skrip' kini. Dan penyumbang aku hingga ke tahap ini,inilah dia...inilah ratu hatiku bernama Cikgu Naimah. I LOVE YOU Cikgu dan jasamu kekal dalam ingatan Azian buat selama lamanya.

Buat Cikgu Cikgu yang lain,teringin rasanya bersua muka. Antara yang ingin sangat ku temui Cikgu Matematik Ting 1 & 2;Cikgu Azman,Cikgu Kamaruddin;Penyelia Perpustakaan,Cikgu Ishar;Guru Pertanian,Ustazah Ramlah;Ustazah dan ramai lagi yang tidak mampu aku sebutkan. Sungguh ianya 'sentimental value' dan siapa sangka ianya telah tertulis takdir yang kita akan bertemu selepas 16 tahun terpisah. Apa pun perjalanan ini,berjalanlah tanpa henti kerana Allah menguji dan tidak akan berhenti. Dan sekalian guru guruku,walau di mana pun doa ini tidak lekang untuk kalian.

Tuesday, October 19, 2010

Selamat Ulang Tahun 'Muhammad Yassin Adnin' 11 tahun - 19 Oktober 2010



Hari ini hari jadi 'Muhammad Yassin Adnin',satu satunya lelaki yang aku kandungkan selama 9 bulan dan mungkin dia adalah lelaki pertama dan terakhir yang aku kandungkan. Semalam masa hantar Yassin ke sekolah dan sekaligus balik asrama,aku dah ucap advance birthday padanya sempena birthdaynya hari ini. Yassin cium pipi aku kiri dan kanan serta dahi,acap kali kebiasaannya dia melakukan aku sebegitu. Kalau tahun lepas aku hadiahkannya gitar. Tahun ini aku mencuba untuk menghadiahkannya sebuah laptop kerana dia sudah ada keupayaan meminati dunia siber dan teknologi maklumat dengan pantas. Tetapi ianya ku katakan dengan bersyarat jika peperiksaan hujung tahunnya adalah di dalam 5 teratas. Dia senyum simpul. Terima kasih selalu picit kepala Umi,bila Umi balik kerja,terima kasih tolong Umi basuh pinggan dan apa juga yang menyenangkan hati Umi,disebalik kenakalanmu. Walau sikap tidak duduk diammu membuatkan Umi terkadang lelah dan melampiaskan kemarahan. Maafkanlah Umi,kerana sebagai Umi dan ayahmu dalam satu masa...Umi terkadang akur yang Umi hanya manusia dan ada rasa tidak puas hati,penat dan pelbagai lagi. Apa pun pencapaiannya pada tahun ini khatam Quran dalam umur 11 tahun,sedetik membuatkan perutku sejuk mengandungkannya. Dia mampu menghafal surah Yassin dan lancar di dalam membaca tulisan tulisan Jawi dan membaca Al Quran. Setidaknya itu mampu untuk aku jika sudah tiada lagi untuk anak ini mengutus sepotong doa buat ibu bapanya.

Yassin,hari ini Umi nak ucapkan 'Happy Birthday'...Umi dan kakak sangat sayangkanmu yang tiada galang gantinya kerana dirimulah satu satunya lelaki yang menjadi pelindung kami. Umi sangat dambakanmu menjadi anak yang soleh,menghormati wanita dan bertanggung jawab dunia dan akhirat. Seperti juga ibu ibu lain. Umi mungkin tiada harta sehasta yang mampu ditaburkan buatmu,tetapi ingatlah segalanya tanpa kerja keras ianya tidak akan mampu datang bergolek seperti yang kita kecapi hari ini.

'Lelaki Ini yang selalu mencintamu,selalu tanpa ragu
lelaki ini yang selalu memuja,hanya dirimu yang bertakhta dalam sanubariku'


-Umi Yang Melahirkanmu Tanggal 19 Oktober 1999, 2.30 petang, Hospital Kajang Selangor-

Sunday, October 03, 2010

Raja Nur Azrinda - antara RM25 ribu,Cross Stich sarung telefon,pastri bijan & Giant Cell Tumor





Berat mata memandang,berat lagi bahu yang memikulnya. Ini penderitaan yang dialami oleh pemilik wajah manis dan ayu berusia 21 tahun bernama ‘Raja Nur Azrinda’. Gadis manis ini menderita ‘Giant Cell Tumor’ semenjak beberapa tahun dulu dan sudah menjalani lebih daripada 20 kali pembedahan pada kakinya. Pusat Perubatan Universiti Malaya di wad Tingkat 9 Ortopedik itu menjadi rumah utama kepada Azrinda dan mamanya Makcik Ana yang menghuninya sudah sekian lama. Asing bagi kita semua,tetapi itulah kenyataan buat mereka anak beranak yang sudah menjadi rutin biasa menghuni wad tersebut. Makcik Ana,ayah Azrinda dan adik adiknya bergilir gilir menjaga Azrinda di wad tersebut. Malah adik beradik Azrinda dan ayahnya sendiri juga mengalami masalah kesihatan yang pelbagai. Ini dugaan buat mereka. Mereka mengusahakan perniagaan PASTRI BIJAN yang sangat enak rasanya dalam mengumpul dana bagi keperluan pembedahan Azrinda sendiri.

Kunjungan demi kunjungan aku,baik semasa penggambaran dan selepas penggambaran membuatkan aku makin belajar satu lagi erti ketabahan,kekuatan dan syukur. Betapa ada insan lain yang lebih getir dugaan mereka diuji Allah di muka bumi ini. Azrinda antara contohnya. Dia yang merupakan penuntut Komunikasi Masa UiTM terpaksa berhenti belajar hanya sampai ke semester 3 kerana Giant Cell Tumor yang dihidapinya. Malah Giant Cell Tumor ini juga masih baru di Malaysia dan antara penyakit dan rawatan yang baru dikenal pasti. Siapa sangka gadis yang aktif selama ini di dalam sukan dan pelbagai aktiviti luar kini terpaksa hanya duduk di atas katil putih hospital. Namun ketabahan hatinya dan seluruh ahli keluarganya patut menjadi contoh kepada kita semua. Dalam kesakitan dan penderitaan itu Azrinda masih mahu mengisi masa sakitnya,membantu mama dan papanya dalam hari tua yang berusaha keras mengisi tabung untuk rawatannya. Azrinda membuat sendiri cross stich sarung telefon dan beberapa aksesori kecil lain dalam mengisi masa senggangnya dan semuanya itu dilakukannya untuk membantu mama dan papanya dalam rawatannya. Jernih mata Azrinda itu bagiku menyimpan kepelbagaian perasaan yang menghuni hatinya. Antara kasih sayangnya kepada ibu bapanya dan kekuatan dalamannya melawan dirinya sendiri dalam mengelak kesedihan melingkar dirinya atas kesakitan yang dihidapinya. Besi harus dimasukkan dalam kadar segera ke kaki Azrinda bagi membolehkannya balik ke rumah dan boleh menggunakan tongkat. Jika tidak Azrinda akan menjadi penghuni hospital selama kesakitannya dan tidak mampu berbuat apa2 kerana ketiadaan tulang dan besi mengakibatkan kaki kanannya hanya tersadai di atas katil. Ya Tuhan,penderitaan adik ini hanya bisa dijawab olehku dengan air mata dan dari sudut bening mata ini kerana aku tidak bisa membantu dengan wang ringgit.

Sms demi sms yang aku terima untuk bertanya khabar dari Makcik Ana dan Azrinda membuatkan aku mengganggap mereka ini seperti saudara dan darah dagingku sendiri. Malah seisi kes ‘Merisik Khabar’ itu jauh dari sudut hati aku tidak mahu hubungan itu hanya disetakat penggambaran sahaja. InsyaAllah selagi daya apa yang mampu dibantu,walau setitik dan secebis aku bantu,walau ini….saat ini hanya melalui ketukan di papan keyboard yang mampu aku bantu mereka. Moga moga bait bait ayat ini dapat membuka hati kalian di luar sana agar membantu Azrinda ini dalam apa cara sekali pun. Mungkin tika ini masa sukar buat mereka,tetapi bagaimana kita di suatu masa nanti yang tidak tahu apa dugaan mendatang di hari muka,mungkin lebih hebat lagi. Setidaknya juga ia menjadi bekalan buat ladang akhirat.

Sesiapa yang mahu membeli PASTRI BIJAN AZRINDA sila berhubung dengan Azrinda direct di facebooknya : Facebook Raja Nur Azrinda

Dan hulurkan bantuan anda walau berapa pun untuk menampung kos pembedahannya khususnya dalam masa terdekat untuk memasukkan besi di kakinya dengan kos RM25,000.00 (DUA PULUH LIMA RIBU). Jika ada badan korporat,organisasi dan individu yang sudi membantu,hanya Allah bisa membalasnya.

CIMB
1231-0086126-52-6 -RAJA NUR AZRINDA.

Semoga sumbangan anda mampu meringankan beban mereka. War warkanlah kepada insan lain. InsyaAllah ALLAH tahu apa yang kita tidak tahu.