Monday, October 25, 2010
Selepas 16 tahun terpisah;Cikgu Azizan,Cikgu Fairuz & Cikgu Naimah
Siapa yang tidak teruja berjumpa seseorang yang pernah mendidik kita suatu ketika dahulu? Tempoh 16 tahun perpisahan,begitu banyak momen momen kehidupan yang merentasi fasa fasa perjalanan hidup. Bagi aku antara pendidik dan anak murid,darahnya mengalir umpama nadi nadi yang bertali temali menjadi tiupan sebuah kehidupan. Dan tanpa mereka,tentunya kita tidak bisa hingga ke 'sini' dan tanpa mereka aku sangat pasti kita entah ke mana pincang dan celanya melawan dan mengikut arus. Teringat kata kata emak,cikgu antara yang perlu dikasihi dan dihormati selepas ibu bapa! Itu yang aku pegang hingga kini. Zaman persekolahanku dahulu,kami sangat sangat menghargai apa itu 'cikgu' dan peranannya. Acap kali ketika hari guru terutamanya sebutlah mana mana cikgu di sekolahku paling tidak akan menerima akan key chain kecil. Memang murah harganya,tapi itu tandanya kami 'menyayangi'.
Tugasan ber'Musafir' di bumi Alor Star tidak ku lepaskan sama sekali untuk menemui insan insan kesayangan yang bertakhta di hatiku sebagai pendidik. Umpama bulan jatuh ke riba bila aku memang dari KL lagi sudah merancang apa cara sekali pun menemui cikgu cikguku ini. Alhamdulillah Allah memudahkan nawaituku itu. Awalnya aku hanya memberitahu Cikgu Azizan,kemudiannya aku baru teringat dan pantas mengirim pesanan ke dalam inbox FB Cikgu Fairuz dan Cikgu Naimah yang nombor telefonnya di dalam telefon ku yang telah rosak. Aku amat berharap benar dapat berjumpa dengan wajah wajah ini yang sekian lama aku rindui.
Alangkah terujanya berjumpa dengan Cikgu Azizan,guru sejarah yang menjadi favouriteku suatu ketika dahulu. Almaklum untuk menyintai sejarah amat memerlukan ketabahan yang tinggi kerana subjek itu sendiri banyak bermain dengan fakta dan nama nama yang ada di mana mana helaian. Tetapi cikgu yang seorang ini amat menyenangkan kami sekalian. Masa itu Cikgu Azizan menjadi fav di kalangan pelajar pelajar kerana dia seorang yang berbudi bahasa dan tidak pernah meninggi suara. Cikgu yang comel dan berkulit cerah ini masih kekal terbayang bayang di birai mata. Aku juga masih ingat tulisan Cikgu Azizan yang cantik itu menulis di papan hitam. Bila tulisan cikgu cantik,maka kami anak anak murid selesa menyalinnya ke dalam buku catatan :-).Masih terbayang bayang di ruang mata akan cikgu Azizan yang sesuai benar berkemeja merah jambu dan berseluar putih. Semuanya masih segar di dalam ingatan,walau ianya sudah berlalu 16 tahun lamanya. Tidak ada kata yang mampu ku ungkap bila berjumpa dengan cikgu yang seorang ini. Hanya,terima kasih Cikgu,Sejarah Azian dapat juga credit yang teratas walau bukan flying colours. Terima kasih sebab ingat Azian lagi. Malu sungguh bila cikgu kata,Azian ni 'budak baik dan pendiam' dalam sekolah. Alahai....betapa tajamnya memori Cikgu.
Pertemuan diatur dan aku berkesempatan dengan Cikgu Azizan menemui Cikgu Fairuz. Ini guru kelasku ketika di Tingkatan Satu dan Guru Geografi semasa Tingkatan 1 & 2. Alhamdulillah aku juga menyintai mata pelajaran Geografi dalam ramai murid murid tidak meminatinya. Masih segar diingatan harus mengingat setiap satu rumah di kampungku untuk dilukis ke dalam peta penempatan,mengira kereta yang lalu lalang di depan sekolah dan pelbagai lagi tugasan lain. Cikgu Fairuz seorang yang tidak banyak cakap dan tidak pernah juga garang kepada kami semua. Pernah satu ketika,aku nampak Cikgu Fairuz memarahi kami satu kelas kerana beberapa murid 'nakal' berbuat bising dan tidak mendengar katanya. Ada air mata yang ku lihat pada matanya. Beberapa pelajar perempuan ketika itu di dalam kelasku berbisik sesama sendiri melihat Cikgu Fairuz. Kasihan Cikgu dan aku sedar itu tanda anak murid tidak mendengar kata katanya. Seisi kelas diam,bila Cikgu Fairuz berlalu. Rasa simpati menular ke seluruh urat nadiku. Mengapa Cikgu yang seorang ini mesti dilukai hatinya,sedangkan meninggi suara kepada kami seisi kelas pun dia tidak pernah. Azian lupa nak bagitahu Cikgu pada pertemuan tempoh hari. Tiba tiba ini baru Azian teringat. Tiba tiba pula Azian teringat tulisan cikgu yang cantik. Agaknya semua tulisan cikgu cantik cantik ya..:-). Cikgu tak banyak berubah,masih seperti dahulu.
Usai pertemuan aku sempat mengucup tangan ke dua dua guru ini. Tidak ada kata yang mampu ku balas. Sebak bertali temali di relung hati. Sebak yang tidak mampu aku ucapkan,cuma aku bijak tidak mempamerkannya di ruang mata. Hanya Allah yang tahu betapa rasa terima kasihku,rasa kasih sayangku,rasa rinduku dan rasa hormatku kepada kalian yang tidak mampu ku rungkai dengan kata kata. Setiap masa Azian mendoakan kesejahteraan cikgu cikgu Azian ini yang sentiasa kekal dalam ingatan Azian.
Perjalanan ke KL,aku singgah sebentar untuk menemui Cikgu kesayangan yang seorang ini 'Cikgu Naimah'. Masih terngiang ngiang,masih terbayang bayang jerit suara,bebelan dan sifat kelakar Cikgu yang seorang ini. Aku sangat rindukan cikgu yang comel ini. Sungguh rindu. Sifat menyintai mata pelajaran BM dari dulu hingga selamanya menjadikan aku rapat dengan Cikgu BM. Mungkin kerana itu aku bergelar 'Penulis Skrip' kini. Dan penyumbang aku hingga ke tahap ini,inilah dia...inilah ratu hatiku bernama Cikgu Naimah. I LOVE YOU Cikgu dan jasamu kekal dalam ingatan Azian buat selama lamanya.
Buat Cikgu Cikgu yang lain,teringin rasanya bersua muka. Antara yang ingin sangat ku temui Cikgu Matematik Ting 1 & 2;Cikgu Azman,Cikgu Kamaruddin;Penyelia Perpustakaan,Cikgu Ishar;Guru Pertanian,Ustazah Ramlah;Ustazah dan ramai lagi yang tidak mampu aku sebutkan. Sungguh ianya 'sentimental value' dan siapa sangka ianya telah tertulis takdir yang kita akan bertemu selepas 16 tahun terpisah. Apa pun perjalanan ini,berjalanlah tanpa henti kerana Allah menguji dan tidak akan berhenti. Dan sekalian guru guruku,walau di mana pun doa ini tidak lekang untuk kalian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
this post is very usefull thx!
Tak teringin ke abadikan kisah ni dlam bentuk drama.
Post a Comment