Followers

Friday, December 09, 2011

Travelogue Dakwah Skuad Imam Muda

Travelogue Dakwah Skuad Imam Muda | Sensasi Selebriti

Baru berkesempatan menonton program travelogue 'Skuad Imam Muda' di Astro Oasis. Aku tertarik dengan program berbentuk majalah ini. Angle camera yang cantik,panorama yang menarik,penyampaian bersahaja penuh informatif dari ke dua Imam Muda Musim ke 2 Nazrul dan Fakhrul menjadikan program ini bagi aku antara yang perlu ditonton khususnya bagi penggemar program berbentuk travelog seperti aku. Tiba-tiba teringat akan jerih perih menerbitkan program travelog 'Musafir' pada tahun lepas bersama abang-abang Imam Muda 2 ini iaitu IM Hizbur dan IM Taufek. Dan kini mereka meneruskan kesinambungan dengan mesej yang sama iaitu berdakwah. IM Nazrul dan IM Fakrul pada Skuad Imam Muda ini akan meneroka :

Penggambaran di TLDM, Lumut

EPISOD TEMA

1
Skuad Imam Muda mendalami kehidupan seharian orang asli Islam yang semakin hari mendapat pendedahan terhadap pemodenan. Anak-anak dihantar ke sekolah untuk mendapat pendidikan dan warga belia keluar bekerja dalam bidang professional. Walaupun begitu, sebilangan kecil daripada mereka masih meneruskan tradisi nenek moyang mereka. IM mendekati mereka untuk mendalami kehidupan serta cara hidup mereka.

Kejadian tanah runtuh turut memberi kesan pada perkampungan orang asli Sungai Ruil. Mereka mendapat perhatian media dan sumbangan turut dihulurkan. Skuad Imam Muda juga tidak melepaskan peluang bersama orang asli Kampung Sungai Ruil untuk menghayati peranan mereka dalam berdakwah di samping beramah mesra dengan penduduk orang asli Sungai Ruil.

2
Skuad Imam Muda cemas di lautan apabila di pukul ribut ketika di tengah-tengah lautan. Inilah pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Skuad Imam Muda ketika berada di laut terbuka mempertaruhkan nyawa demi mencari rezeki yang halal. Imam Muda bersama nelayan mendalami kehidupan mereka mencari rezeki di laut. Bukan mudah kerana banyak cabaran yang perlu ditempuhi dan banyak pengetahuan yang perlu ditimba dari warga nelayan terdahulu. Inilah sumber rezeki turun temurun masyarakat nelayan yang wajar diteruskan oleh generasi muda dalam arena yang lebih komersil dan professional.

Skuad Imam Muda turut mengunjung ibu tunggal yang berada di kampung Pasir Panjang selesai dari kenduri doa selamat yang telah dianjurkan oleh masyarakat nelayan. Inilah nilai kemasyarakatan dan keprihatinan yang dituntut dalam islam.

3
Skuad Imam Muda bersama pelajar-pelajar kolej komuniti menimba pengetahuan dalam bidang kemahiran teknikal terutama elektrikal. Tidak dinafikan, kemahiran yang dipelajari juga mampu menjadi medium dakwah di mana pelajar dan IM turun padang memperbaiki sistem elektrik untuk Surau dan Dewan Masyarakat. Inilah kebajikan yang diuarkan dalam islam supaya berbakti sesama manusia. Lantas mendidik jiwa-jiwa muda ini supaya menghayati islam dan berdakwah dalam cara yang mudah dan ringan.

Selain itu, Imam Muda Fakrul dan Imam Muda Nazrul juga aktif melakukan aktiviti bersama pelajar-pelajar kolej komuniti mengekplorasi Pulau Pinang dengan aktiviti-aktiviti anjuran Kolej Komuniti Bayan Baru selaku tuan rumah Eplorace Jejak Wira. Inilah aktiviti yang banyak menerapkan nilai-nilai murni dalam diri remaja di samping mengajar mereka memanfaati masa muda dengan aktivit berfaedah berlandaskan cara hidup islam sebenar.

4
Kekangan komunikasi dan agama bukan masalah utama. Berbekalkan semangat waja, skuad Imam Muda meneruskan misi dakwah mereka ke pulau unik yang terbina atas usaha manusia. Rumah-rumah mereka yang di dirikan diatas tanah paya ini menjadi lokasi kediaman majoriti masyarakat Cina di sana. Medium pengangkutan utama hanyalah basikal dan antara punca rezeki utamanya dari laut. Pastinya penduduk di Pulau Ketam yang kaya dengan seni budayanya tersendiri.

Seteguh tekad pendakwah menyampaikan seruan islam dapat disaksikan dengan terbinanya Balai Islam Pulau Ketam. Menziarahi saudara seislam di Pulau Ketam memantapkan lagi ukhuwah untuk bilangan yang minoriti ini. Bukan itu sahaja, Skuad Imam Muda turut menjejakkan kaki ke kelong untuk melihat sendiri bagaimana penternakan ikan di laut terbuka.

5
Skuad Imam Muda bersama mat motor berkonvoi ke Gunung Ledang. Pastinya kesempatan berkonvoi bersama mat motor ini menjadi peluang keemasan untuk Skuad Imam Muda menerapkan nilai-nilai islam sejati dalam jiwa-jiwa muda yang membara dan memberontak ini. Perjalanan konvoi yang penuh dengan pengisian agama menjadi pengalaman berharga buat mereka.

Mat motor juga tidak melepaskan peluang bersama Imam Muda untuk bertanyakan panduan dan berkongsi permasalahan dalam sesi luahan yang lebih santai dan bersahaja. Aktiviti riadah santai seperti ini dapat mengeratkan ukhuwah di samping berdakwah dengan cara yang ringan di samping menerapkan nilai-nilai cintakan negara dan agama apabila berkunjung seketika ke Bukit Kepong sebelum tiba di Gunung ledang.

6
Kali ini, Skuad Imam Muda menjalani rutin hidup penarik beca. Realiti kehidupan yang mengajar untuk sentiasa mensyukuri rezeki hasil dari usaha membawa beca dengan titik peluh sendiri. Inilah antara warisan nenek moyang yang masih diteruskan oleh generasi sekarang di Melaka dan tugas penarik beca ini sebanarnya di warisi dari turun temurun. Skuad Imam Muda juga tidak melepaskan peluang untuk bersama warga Baba dan Nyonya untuk mempelajari seni budaya yang menjadi kebanggaan mereka. Pertembungan budaya cina dan melayu menjadi sebuah Budaya unik dengan unsur-unsur islam.

Skuad Imam Muda turut menimba pengalaman menyediakan makanan tradisional seperti dodol, gula melaka dan wajik. Inilah yang menjadi sumber pendapatan penduduk kampung dan usaha mereka dalam menjadikan produk makanan tradisional lebih komersil.

7
Skuad Imam Muda bersama warga felda untuk turun ke ladang dan membuat aktiviti lazim sebagai seorang pengusaha ladang sawit di felda. Pengalaman ini mampu di adaptasi semua masyarakat apabila cara penanaman baru di perkenalkan. Tidak rugi berbakti pada tanah. Warga belia felda meneruskan perjuangan ibu bapa mereka dalam membangunkan tanah di felda. Usaha orang muda di felda harus dicontohi untuk terus memajukan diri.

Kunjungan Skuad Imam Muda ke Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) menambahkan keceriaan kepada kanak-kanak istimewa yang belajar di situ. Inilah peranan seorang Imam yang cuba ditonjolkan supaya sentiasa bersedia berbakti pada orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan dan memberikan motivasi serta panduan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup berdikari. Kebanyakkan pelajar di PDK berumur dalam lingkungan 8 hingga belasan tahun dan pastinya ada diantara mereka yang telah berjaya berdikari mencari rezeki.

8
Skuad Imam Muda meraikan perkahwinan sahabat mereka Imam Muda Amar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Menjadi kewajipan untuk setuap umuat islam untuk memenuhi jemputan walimatul urus dan meraikan majlis yang menjadi tuntuan agama. Skuad Imam Muda turut bertungkus lumus menyiapkan persiapan majlis perkahwinan dari penyembelihan sehinggalah majlisnya berlangsung. Majlis perkahwinan Imam Muda Amar turut diserikan dengan kehadiran sahabat imam muda yang lain. Turut hadir IM Asyraf, Najdi, Mujahid & Ali.

Namun demikian, Skuad Imam Muda tidak lupa juga mengundang Puan seorang ibu tunggal untuk turut merasai kemeriahan majlis perkahwinan di samping merapatkan ukhuwah dengan penduduk kampung. Semangat kejiranan inilah antara medium yang berkesan untuk memupuk silahturrahim sesama manusia demi mencari redha Illahi.

9
Kehadiran Skuad Imam Muda ke Rumah Barkat sememangnya dinantikan oleh penghuninya. Anak-anak yatim dan piatu terdiri daripada pelbagai peringat umur sehinggalah mereka berjaya melanjutkan pelajaran di IPTA/IPTS. Terdapat anak-anak yatim di Rumah Barkat ini yang telah berjaya dan kembali yang menariknya mereka kembali semula berbakti serta menjadi contoh untuk adik-adik mereka di rumah tersebut. Sesungguhnya berbakti dan bersedekah pada anak yatim ini menjadi tuntutan dalam islam.

Skuad Imam Muda meluangkan masa bersama anak-anak yatim Rumah Barkat menjalani rutin seharian mereka. Pelbagai aktiviti berkumpulan dan beriadah diadakan bersama adik-adik. Pengisian yang berunsurkan dakwah serta mengaitkannya dengan kehidupan seharian pastinya dapat memberikan pengalaman berharga buat adik-adik Rumah Barkat.

10
Skuad Imam Muda menziarahi 3 keluarga asnaf yang berada di Kampung Baru Sungai Telur, KotaTinggi Johor . Golongan asnaf adalah golongan yang berhak menerima zakat. Walaupun begitu, golongan ini perlu dibantu kerana kehidupan golongan itu cukup teruji sehinggakan tiada tempat untuk mengadu bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka. Pelbagai kisah suka duka dikongsi bersama Skuad Imam Muda bersama keluarga ini. Sesungguhnya Allah bersama orang yang bersabar itu nasihat IM.

Skuad Imam Muda turut menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban mereka. Inilah peranan yang wajar diterapkan ke dalam masyarakat supaya terus perihatin dan saling berbantu antara satu sama lain. Memberi sedekah akan menambah keberkatan dalam hidup kita.

11
Skuad Imam Muda mendalami kehidupan sebagai pelajar di pondok yang mana pondok merupakan sistem pendidikan islam yang tertua di Asia Tenggara. Institusi pondok sepanjang perkembangan sejarahnya telah meletakkan hala tuju asas yang betul dalam membentuk kefahaman dan pengajian kepakaran dalam bidang-bidang pengajian bahasa dan kesusasteraan, budaya dan peradaban, Syariah, Usuluddin, Tafsir, Tasawwuf, Al-Quran dan Al-Hadith.

Selain itu juga, Skuad Imam Muda juga meluangkan masa bersama seorang adik yang cukup istimewa iaitu adik Muhammad Qayyim Nizar bin Sarimi. Adik Qayyim merupakan insan yang cukup istimewa dengan kelebihannya membaca al-quran braille dan juga mengalunkan tarannum yang mengusik jiwa. Beliau juga banyak memenangi anugerah dan pertandingan bacaan al-Quran.

12
Dalam episod ini, Skuad Imam Muda berkunjung ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Di hospital, Imam Muda mendapat pendedahan mengenai tugasan warga hospital yang sentiasa bertungkus lumus membantu pesakit di saat kecemasan dan sentiasa berjaga setiap masa. Di samping itu, Skuad Imam Muda juga diberi informasi mengenai kawasan-kawasan di sekitar hospital yang mempunyai akses terhad berhadapan dengan pelbagai risiko.

Menziarahi pesakit dan mendoakan mereka adalah medium yang terbaik untuk mendekati diri dengan pencipta. Imam Muda turut menziarahi kanak-kanak di wad pediatrik serta mendalami permasalahan mereka terutama keluaraga yang truma. Bukan itu sahaja, Imam Muda juga menziarahi adik Fadli yang terlantar di rumahnya akibat kemalangan jalan raya baru-baru ini. Ini jelas menunjukkan bahawa tanggungjawab kita sebagai mukmin menjaga saudara mukmin kita yang lain.

13
Skuad Imam Muda kali ini menimba pengalaman sebagai seorang leftenan muda. Pastinya bukan mudah memikul tanggungjawab menjaga Negara di samping berdakwah. Menjadi tuntutan sesebuah negara mempunyai sistem pertahanan yang kukuh; tidak kiralah di darat,udara mahupun di air.

Menariknya, apabila Imam Muda turut menjalani rutin dan latihan yang mendebarkan di atas kapal. Inilah realiti kehidupan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia yang bertungkus lumus menjaga keselamatan perairan negara. Latihan diadakan untuk meningkatkan kecekapan anggota. Di samping itu, pengajian agama juga turut dititikberatkan sebagai pengisian dan panduan hidup. Tidak dilupakan aktiviti sukan juga giat dilaksanakan untuk memastikan jasmani sentiasa dalam keadaan sihat.

Skuad Imam Muda ialah sebuah program travelogue yang menonjolkan metodologi dakwah secara santai di samping memaparkan perjalanan dua orang Imam Muda musim kedua menggunakan pengangkutan ”motor home” untuk begerak ke seluruh semenanjung Malaysia. Setiap lokasi dan pengalaman mereka didokumentasikan kepada sebuah realiti kehidupan untuk mendalami masalah dan keperluan masyarakat. Dua orang Imam Muda ini membantu dan menjalankan sesi motivasi dan bekerjasama dengan penduduk kampung untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.





Jangan lepaskan peluang untuk menonton program yang memaparkan perjalanan dakwah dua Imam Muda musim kedua dengan ”motor home” ini pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam bermula 7 Disember 2011 menerusi Astro Oasis (Saluran 106). Selamat menonton!

1 comment:

Emmet said...

wah, entry yang menarik, blog ni pun lawa, keep up the good work! :D