Wednesday, February 15, 2012
Industri Dokumentari Malaysia
Sejak akhir-akhir ini saya menerima beberapa tawaran daripada orang perseorangan dan tidak kurang juga untuk saya mengadakan bengkel mengajar mengenai pembikinan program majalah TV/dokumentari. Saya bukanlah terlalu bagus untuk mengajar, malah jauh lebih baik daripada pembikin program majalah TV dan dokumentari yang sedia ada. Cuma saya sekadar berkongsi apa yang patut untuk memahamkan sekaligus memberi 'cinta' kepada peminat program ini yang masih ada pengikutnya yang sangat dahagakan karya majalah TV/dokumentari tempatan. Niat saya hanya satu, mahu anda semua menyintai program majalah TV dan dokumentari. Mulai entry ini saya akan post artikel mengenai majalah TV/dokumentari yang saya petik/baca dari sumber-sumber tertentu diselang selikan dengan penulisan peribadi saya sendiri. Semoga ianya mendapat manfaat semua :).
Sejarah dokumentari ia telah bermula pada abad ke - 19 di negara barat. Dokumentari yang dibuat adalah berkaitan tentang kehidupan manusia dan penjajahan sesebuah negara yang menjurus kepada fakta, keadaan sekeliling, sejarah dan lain-lain. Terdapat segelintir negara sahaja dapat menerima dokumentari sebagai penyampaian maklumat seperti di USA, yang mana rakyatnya dapat menerima dokumentari sebagai penyampai maklumat. Penghujung abad ke - 19, filem cereka mula menjadi pilihan khalayak apabila ia lebih berimaginasi, kreatif dan mempunyai jalan cerita yang lebih menarik.
Di Malaysia dokumentari mula menyinar pada abad ke - 19 pada sekitar tahun 1920-an. Pihak pemerintah ketika itu pihak British melihat filem memberi manafaat kepada mereka sebagai alat propaganda. Mereka menggunakan filem untuk mengukuhkan kekuasaan dalam menyampaikan propaganda ketika mereka datang ke Malaya ketika itu. Pada tahun itu juga dokumentari di Malaysia menerima nasib yang sama seperti di negara barat apabila filem cereka mula mendapat tempat di hati khalayak. Dokumentari di Malaysia bermula dengan begitu perlahan sekali. Jika dirancang dengan betul dan dipupuk dengan teliti ia akan menjadi satu yang menarik untuk aktiviti negara dan ia boleh mempromosikan negara di mata dunia. Mungkin disebabkan kos yang tinggi untuk menerbitkan dokumentari berbanding permintaan yang rendah menyebabkan kelembapan kepada kebangkitan filem dokumentari.
Dokumentari memerlukan kajian yang mendalam dan mantap agar ia menjadi rujukan yang bermakna kepada penonton. Di samping itu juga pasaran yang terhad juga menjadi faktor kepada kelembapan kebangkitan filem dokumentari. Melalui kajian yang telah dilakukan menunjukan filem dokumentari mempunyai penontonnya yang tersendiri. Tetapi disebabkan kekurangan dokumentari tempatan ramai memilih menonton dokumentari yang dikeluarkan oleh National Geographic dan penonton juga merasakan dokumentari luar negara mempunyai idea, kreativiti dan visual yang menarik serta maklumat yang banyak
Dokumentari keluaran negara luar sentiasa mempunyai sokongan yang kuat dari kerajaan mereka sendiri. Peralatan dan penajaan kos yang tinggi dari kerajaan memberi kelebihan kepada dokumentari luar terus ke hadapan dalam penghasilan dokumentari yang lebih bermutu. Namun begitu, negara kita telah menunjukan perkembangannya apabila FINAS telah mula mengorak langkah dalam penghasilan dokumentari. Kita telah mula memberi perhatian terhadap pemasaran, peralatan dan penyelidikan.
Mungkin dalam tempoh 10 tahun ini Malaysia akan mampu untuk berdiri seiring dengan negara luar dalam penghasilan siri dokumentari. Peningkatan telah mula dilihat apabila dokumentari kita mula mendapat tempat dan memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa. Dalam usaha bersepadu daripada semua pihak termasuk persatuan dan syarikat penerbit, Malaysia mungkin mampu menyaingi dokumentari penerbit antarabangsa. Kesedaran tentang kepentingan dokumentari telah membuka ruang kepada penerbit-penerbit tempatan untuk menghasilkan dokumentari yang lebih bermutu .
Dokumentari di Malaysia bergerak dengan agak perlahan untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Kekurangan dana, tenaga pengajar yang profesional dan promosi yang kurang menyebabkan dokumentari di Malaysia lambat berkembang. National Geographic merupakan contoh yang baik untuk dijadikan rujukan oleh penerbit-penerbit tempatan dalam menghasilkan dokumentari yang bermutu. Di peringkat pusat pengajian tinggi masalah kekurangan peralatan juga menjadi kekangan untuk karyawan muda berkarya dalam menerbitkan dokumentari yang bermutu.
Kita kaya dengan keunikan budaya yang boleh dipertontonkan kepada masyarakat antarabangsa, namun mengapa kita tidak menerokai keindahan itu dalam menghasilkan dokumentari yang bermutu? Kita perlu melakukan satu kajian yang teliti tentang apa yang ingin disampaikan bagi menjelajahi sesuatu cerita dan ini akan menarik minat masyarakat antarabangsa untuk menonton dokumentari kita. Berdasarkan kajian yang kami lakukan menunjukan penonton yang menonton dokumentari adalah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.
Dokumentari perlu mempunyai maklumat yang tepat di samping sedikit hiburan yang mempunyai jalan cerita yang boleh mengikat penonton untuk terus menontonnya. Dokumentari yang baik dapat menjana ekonomi negara di samping dapat menarik ramai karyawan luar negara untuk berkarya di negara kita dan penerbit-penerbit tempatan kita secara tidak langsung dapat belajar dan berkongsi pengalaman dengan mereka.
Di Malaysia kita mempunyai pengikut dan penonton yang meminati dokumentari tetapi dengan jumlah yang kecil berbanding dengan peminat filem cereka. Penerbit dan karyawan kita tidak berani untuk menghasilkan dokumentari kerana ia memerlukan kos yang tinggi dan pasaran di stesyen TV sangat terhad di samping bayaran bagi setiap dokumentari yang ditawarkan adalah sangat rendah. Semua faktor ini mempengaruhi dokumentari kita untuk terus maju dalam bersaing dengan dokumentari antarabangsa. Sekiranya kita dapat menembusi pasaran arus perdana, itu sesuatu yang sangat baik. Di samping promosi melalui saluran TV, kita mungkin boleh menayangkan dokumentari di terminal, lapangan terbang, bank dan perpustakaan bagi mempertontonkan dokumentari tempatan.
Namun begitu ia juga mempunyai kekangan yang amat terhad dalam penayangannya. FINAS di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mungkin boleh bekerjasama dengan stesyen TV swasta bagi mewujudkan saluran khas untuk dokumentari tempatan. Di samping itu juga kita harus menyediakan kandungan yang mencukupi supaya tidak menghadapi masalah kekurangan pembekalan program dan ia merupakan satu idea yang baik dan memerlukan perancangan dan persiapan yang teliti. Ini mungkin membantu perkembangan dokumentari di Malaysia.
Dokumentari disampaikan melalui gabungan audio-visual dan maklumat. Ia berbeza dengan berita yang merupakan paparan maklumat ringkas dan padat. Manakala dokumentari pula melibatkan penyelidikan yang teliti dan mendalam serta kreativiti penyampaian sesuatu maklumat itu.Dokumentari juga dapat memberi gambaran yang sangat menarik dalam memperlihatkan jalan cerita melalui dokudrama yang dihasilkan dalam penyampaiannya. Di sini FINAS memainkan peranan yang penting dalam membantu perkembangan dokumentari di Malaysia dengan bekerjasama dan berdialog dengan pelbagai pihak termasuk stesyen TV bagi memberi ruang lebih luas kepada tayangan dokumentari.
Program talk show juga boleh diadakan bagi mendedahkan budaya menghargai dokumentari kepada masyarakat. Melalui Minggu Dokumentari juga boleh membantu menyemai minat penonton dan ini mungkin dapat membantu perkembangan dokumentari di Malaysia. Pendidikan dokumentari sepatutnya telah bermula di peringkat sekolah rendah dan ia boleh diaplikasikan melalui kaedah pengajaran yang mana dokumentari digunakan dalam menyampaikan maklumat kepada pelajar. Mereka mungkin boleh didedahkan dengan dokumentari yang berdurasi pendek dan ini akan membantu pelajar memahami sesuatu sejarah dengan lebih menarik dan tidak membosankan.
Berdasarkan kepada kajian yang kami lakukan, wakil National Geographic menyatakan bahawa selain isi kandungan yang tepat dan padat, khalayak hari ini lebih bijak apabila menitik beratkan cara penyampaian dan pendekatan. Sesuatu subjek yang akan di persembahkan perlu lebih dramatik atau berunsurkan dramatic entertainment dan mempunyai jalan cerita menarik untuk menambat minat penonton untuk terus menikmati tayangan dokumentari tersebut.
Pusat Pengajian Tinggi Awam kebanyakannya mempunyai fakulti yang berkaitan dengan media. Namun begitu kemudahan yang disediakan tidak mampu untuk menanggung keperluan pelajar dalam menerbitkan karya dokumentari mereka. Ruang untuk mereka terus berkarya selepas tamat pengajian juga amat terhad apabila produksi tempatan sendiri tidak berani untuk menerbitkan dokumentari yang memerlukan kos yang tinggi dalam pembikinannya.
Kebanyakan penerbit ini juga mengambil tenaga kerja secara kontrak dan ini akan menyekat karyawan muda untuk menunjukan kreativiti mereka. Syarikat produksi yang ada juga lebih cenderung dalam menerbitkan filem cereka. Jika pasaran untuk dokumentari sentiasa stabil, produksi yang mempunyai kepakaran dalam penerbitan dokumentari mampu untuk terus berkembang dan ia akan membuka pasaran kerja kepada tenaga kerja mahir yang dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi. Di samping itu usaha untuk kukuhkan pasaran dokumentari di peringkat antarabangsa dapat dipertingkatkan.
Apa yang FINAS lakukan dalam membantu perkembangan dokumentari di negara kita sangat bagus dan efektif. Penawaran dana untuk menerbitkan dokumentari, penganjuran Festivel Filem Dokumentari dan jalinan kerjasama dengan produksi antarabangsa seperti National Geographic sedikit sebanyak telah membantu memartabatkan industri dokumentari negara. FINAS juga harus menitik beratkan tentang penambahbaikan tenaga mahir terutamanya tenaga muda yang lebih kreatif dan inovatif.
Latihan secara profesional juga dapat membantu produksi tempatan berkembang dan menghasilkan dokumentari yang lebih bermutu di samping membantu memajukan industri dokumentari negara. Buku Industri Dokumentari Di Malaysia yang merupakan terbitan FINAS dengan kerjasama UKM. Melalui kajian dan penyelidikan yang telah kami lakukan iaitu Dr. Asiah Sarji, selaku Ketua projek, Dr. Shamsubaridah dan saya sendiri, kami telah cuba mendalami mengenai pembangunan dokumentari yang menyentuh isu dasar, sistem dan pemasaran dokumentari melalui pelbagai metodologi seperti survey, temubual mendalam, analisis panel pakar dan analisis kandungan.
Hasilnya adalah memberangsangkan dan boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan dokumentari tanah air. Kita perlu ada ransangan yang lebih positif dalam menarik minat khalayak dan perkara yang perlu diambil berat adalah melalui jalan ceritanya, skrip yang ditulis, sinematografi yang menarik dan kaedah inovatif dalam penyampaian maklumat dokumentari tersebut. Kita juga perlu belajar dan merujuk kepada dokumentari yang dihasilkan oleh National Geographic dan Discovery Channel dari Amerika Syarikat serta dokumentari dari negara lain yang mendapat pengiktirafan antarabangsa. Penyelidikan dan kajian yang teliti dan mendalam serta keterbukaan dalam mempraktikkan idea inovatif akan membantu penghasilan dokumentari yang bermutu dan bertaraf dunia.
Sumber Prof Madya Faridah Ibrahim
Buku Industri Dokumentari Di Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Salam, cik/puan... saya pelajar UMT yang diberi tugasan menghasilkan filem dokumentari. Saya sangat berharap dapat berhubung dengan puan secara peribadi samada melalui emel atau melalui telefon bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan filem dokumentari dan penerbitan jika puan tidak keberatan. Ini emel saya unique_own@yahoo.com , terima kasih saya ucapkan.
Post a Comment