Followers

Saturday, May 19, 2012

Yang Pernah Bernama 'Seri'



Saya masih teringat, menyalin dan menulis segala kalimat sms demi sms nya di ruangan diari saya pada tahun itu. Benar, itulah antara perkara yang saya kira 'sebal' yang pernah saya lakukan antaranya sepanjang hidup. Kerana? Kerana dia itu sungguh bererti dalam hati dan hidup saya. Selamanya.

Sebelum majlisnya berlangsung, beberapa hari lagi dia menemui saya.

"A rasa nak batalkan majlis ini"

Wajahnya keruh. Kusut masai. Seingat saya sepanjang mengenalinya, saya hanya melihat dia kusut ketika beberapa tahun dahulu saat awal-awal bertemu saya. Ketika itu dia hampir putus asa dalam hidup. Ketika itu umpama dia mahu terjun ke dalam muara sungai di bandar tempat tinggalnya kerana cinta.

Saya menelan air liur berkali-kali. Gusar dengan ayat A.

"Jangan nak buat kerja gila, kan majlis dah dekat. Segala persiapan dah buat". Ucap saya tegas, mengingatkannya.

"Apa gunanya majlis diteruskan, kalau maruah A diinjak-injak sedemikian rupa?". Dia meluahkan resah melalui nada suaranya.

"Mungkin maksudnya bukan begitu. A....sudahlah"

Saya menahan getar di hujung suara. Jujur, saya mahukan majlisnya berlangsung. Indah.

A berpaling ke arah saya. Dia memandang mata saya. Damai. Ada kasih pada mata itu. Dia sudah mula melenturkan wajah dan suara dengan lebih lembut.

"Dalam dunia ini, selain emak hanya dirimu dan dia yang amat memahami A"

Saya diam. Sebak. Saya tunduk.

"Maafkan A kerana melukai hatimu. A ini memang tidak pernah menghargai kasih dan cintamu. Memang A tidak pantas untuk memilikimu". Nada suaranya mengukir kesal yang sungguh-sungguh.

Saya pandang matanya. Perasaan sayang saya juga mengalir pada bening matanya itu. Masakan saya mampu melupakannya sekelip mata, setelah banyak yang saya lalui bersamanya. Saat susah dan senangnya. Saat dia tidak ada apa-apa dan ada apa-apa kini. Tempoh 2 tahun terlalu lama buat saya mengadun segala air mata, suka dan duka bersamanya. Wajah itu, saya akan ingat sampai bila-bila. Saat sebelum majlis nikahnya.

"Sudahlah, yang penting A bahagia. Lupakan tentang lalu A". Saya menutup pilu yang mula hadir. Pilu melepaskannya kini, sebagai cinta hati saya. Belahan jiwa saya.

A memandangku dengan pelbagai perasaan.  Saya sendiri kurang mengetahui gejolak rasanya ketika itu. Saya rasa pelbagai. A tarik tangan saya. Cuba menahan saya, bila saya sudah mengajaknya beredar, menyedari malam sudah semakin larut. Saya tidak mahu berlama-lama dengan tunang orang dan bakal suami orang ini.

"Nak balik". Ucap saya perlahan tapi tegas.

A angguk. Kami sama-sama ke kereta yang berasingan. Bersebelahan. A menyandarkan badannya pada keretanya.

"Satu A pinta". Dia memandangku tepat.

Saya berdebar tertunggu bicaranya.

"Kau ku sayang hingga ke hujung usiaku. Takdir tidak menentukan kita bersatu. Kau wanita yang teragung, ketabahanmu membuatkan A terlalu mengasihimu"

"Tahu tak, setiap kali A ditimpa sedih dan duka, A akan memandang fotomu dan anak-anak dan di situ A dapat kekuatan"

Jujur saya sedih dan sebak. Tapi saya tahan air mata dari jatuh. Saya sudah banyak menangis untuk A. Dan untuk di sekian kalinya ini saya tidak mahu menangis lagi demi A. Tambahan menjelang hari bahagianya.

Saya memintas.

"Sudahlah A. Kisah kita kini hanya kenangan. Bersyukurlah tidak ada dendam di antara kita. Malah kita baik hingga ke saat pernikahanmu, tak lama lagi"

A masih memandangku tepat.

"Sanggup datang ke majlis pernikahan A?"

Saya menjawab pantas.

"Kenapa tidak?"

A mengusap wajahnya dengan tangannya. Dia mengeluh berat kemudian memandangku.

"A takkan jumpa wanita setabahmu, sayang.....jujur tidak ada"

Saya mendengar nada suara A bergetar. Saya cepat-cepat menekan alarm dan masuk ke dalam kereta .A mengetuk cermin pintu kereta saya. Saya membukanya, mahu tidak mahu.

"Jangan tinggalkan A"

Saya tarik nafas perlahan-lahan. Kemudian memandang ke depan sambil tangan saya memegang stereng kereta.

"Saya tidak pernah meninggalkan, kerana saya tidak pernah pergi"
 
Saya pandang A. Matanya akhirnya sudah menakung air mata. Air mata seorang lelaki. Saya pandang dalam. Kemudian mengalihkan pandangan. Saya tidak sanggup memandangnya lagi. Dia jarang menangis. Apatah lagi di depan saya.

Saya menghidupkan enjin kereta. Saya pandang A. A yang tidak akan saya tinggalkan kerana saya telah berjanji untuk tidak pergi dari hidupnya dan ada bila dia memerlukan. A yang akan beberapa hari lagi membilang tarikh nikah, tapi bukan dengan saya.

"A, balik dulu....nanti kita jumpa di wedding A ya. Tolong senyum untukku A, terakhir kali sebelum jadi suami". Saya senyum.

A senyum. Memaksa senyum ku kira untukku. A masih memandangku dengan matanya yang masih basah.

"Kirim salam pada anak-anak kita".

Perkataan 'kita' itu ditekannya, kerana itulah ayat lazim yang sering diucapkannya baik di telefon dan kala berjauhan dan bepergian. Memang dia menyayangi 2 malaikat kecilku itu dengan seadanya. Tapi, Ya Tuhan kenapa saya tidak mampu untuk memilikinya? Menjadi suri di hatinya? Menjadi belahan jiwanya? Tapi kenapa dia tertakdir dengan wanita lain?

Saya meninggalkannya di situ. Perlahan-lahan saya menekan pedal minyak dan melalui cermin sisi saya lihat A mengesat air matanya dan melambai saya. Saya membalas lambaiannya dengan memujuk hati saya, yang saya tidak pun berpisah dengannya. Cuma kami berpisah sebagai kekasih dan sebagai saudara dia tetap ada dalam hidup saya sampai bila-bila pun. Saya membuka radio kereta. Melantun lagu ini tiba-tiba yang menjadi lagu utama ditujukannya kepada saya, saat mula perkenalan kami. Saya terkejut, seakan radio ini dapat membaca pertemuan akhir kami sebelum A menjadi suami. Lagu ini dinyanyikannya kepada saya juga dengan penuh perasaan pada suatu ketika dulu. Terima kasih A, kerana hanya dirimu yang sanggup menghiasi ruang-ruang hidupku walau hanya seketika.

Dan A sudah bahagia kini. Saya senyum kerana A itu ada tempatnya dalam hati saya. Saya ikhlaskan pemergiannya sebagai lebih dari saudara dan kini saya tempatkan dia itu ikhlas dalam hati pada suatu tempat istimewa. Duduk diamnya di situ. A terima kasih atas segalanya.

Cinta sejati itu adalah ketika dia mencintai orang lain dan kamu masih mampu tersenyum dan berkata "Aku turut bahagia untukmu"

http://youtu.be/Kk0zEd0T8Rg
Kau Yang Bernama Seri

Relakan cintamu Seri
Leburkanlah rinduku ini
Agar bisa ku menikmati
Belaian kasih yang sejati

Biarpun hanya seketika
Biarpun bukan selama-lama
Sekali sudi kau menerima
Sejuta kali ku 'kan setia

Sekali bumi beredar
Mentari terbit di ufuk dunia
Bintang di angkasa
Masih bernafas di dada
Selagi itu kau kucinta

Inilah janjiku
Insan yang mengenal erti
Sepi yang tiada sepi, sepi lagi
Tinggal kau harapan
Satu-satunya sandaran
Jalan ku pulang ke jalan yang terang
Seri, aku merayu
Pada kau yang bernama Seri

Relakan cintamu Seri
Leburkanlah rinduku ini
Agar bisa ku menikmati
Belaian kasih yang sejati
Darimu Seri

Hanya kau kekasihku
Yang bernama... Seri...
Seri...

No comments: