Tuesday, August 11, 2009
Tonsil
INT.AKU,TIQA-PERKARANGAN HOSPITAL SUNGAI BULOH-AFTERNOON
Sampai di lobi hospital,mataku tercangak cangak mencari papan tanda pesakit luar.Tidak ada alternatif lain kena tanya jugak.
AKU
Pesakit luar di mana?
SECURITY
Ada surat ke?
AKU
Tak ada
SECURITY
Kalau macam tu,cik kena ke Klinik Kesihatan Sg Buloh dahulu kerana di sini semuanya ada kes dari klinik kesihatan sahaja.
AKU
Oh ye ke..Ok terima kasih
Aku menghubungi Doly adikku dan kami membawa Tiqa ke Klinik Kesihatan pula.
INT.AKU,TIQA-KLINIK KESIHATAN SG BULOH-AFTERNOON
Jam menunjukkan pukul 12 tghari.
AKU
Saya nak daftar
PETUGAS KAUNTER
Datang pukul 2 ye cik.
AKU
Ok
Aku mengeluh.Beginilah namanya berurusan dengan kerajaan.Mahu tidak mahu,aku harus akur.Ianya mengundang sabar dan aku,Doly dan Tiqa menjamu selera dahulu di gerai berhampiran.Dalam pukul 1 aku menemani Doly melihat rakan sekerjanya baru selesai operation kerana ketumbuhan dalam otak.Sebelum dan selepas masuk kami di spray dengan steril untuk menggelakkan jangkitan dalam keadaan wabak H1N1 yang menular kini.
INT.AKU,TIQA-KLINIK KESIHATAN SG BULOH-AFTERNOON
Selesai mengambil nombor,aku duduk dengan Tiqa melepaskan lelah.Lebih setengah jam menunggu dan aku serta Tiqa ke ruang rawatan pula.Nombor kami tertera dan kami masuk.
DOKTOR
Ya kenapa?
AKU
Anak saya ada tonsil pada ke dua dua belah dan besarnya dalam syiling 20 sen.
Aku mengarahkan Tiqa membuka mulut kepada Doktor.
AKU
Dia juga demam on and off,batuk dan selsema doktor.Sebelum ini saya sudah ke klinik swasta keadaan tonsil tetap sama.Mereka kata kena bedah kalau tak OK.
DOKTOR
Tak boleh main bedah bedah dia kecil lagi.Bagi saya lihat semula..
Doktor menyalakan lampu picit.
DOKTOR
Sudah besar,takut bahaya.Jadi saya buat surat refer ke pakar Hosp Sg Buloh ya..They r kissing each other,your daughter tonsil.Tapi bagi kanak kanak sudah biasa,tapi kita kena cegah jugak.Saya bagi ubat.
AKU
Thank you Doktor.
Selesai mengambil ubat,aku,Doly dan Tiqa bergegas ke Hosp Sg Buloh semula kerana masih punya masa sebelum pukul 5.Kerana mahu ambil tarikh temujanji pakar sahaja.
INT-AKU,TIQA-HOSPITAL SG BULOH-AFTERNOON
Tertera Klinik Pakar.CU
Aku dan Tiqa berlari lari anak mengejar masa.Aku bertanya jururawat yang lalu.
AKU
Kak,di mana klinik pakar?Saya nak dapatkan tarikh temu janji.
JURURAWAT
Sana dik.Terus,turun escalator dan kiri terus sahaja.Ada tulis ANT.
AKU
Terima kasih kak.
Aku menarik tangan Tiqa secepat mungkin.Jumpa kaunter KLINIK PAKAR dan mereka mengatakan di hujung sana kak,ada tulis ANT.Aku akhirnya sampai dan mereka meneliti keterangan.
JURURAWAT
Dia demam tak sekarang kak?
AKU
Dia demam on and off
JURURAWAT
27/8 boleh?
AKU
Boleh dik,hari apa?
JURURAWAT
Hari Khamis,eh kejap ya
Jururawat meneliti skrin komputer yang berada di depannya.Beberapa jururawat sibuk mengusik seorang jururawat antara bersalin Ramadhan atau Syawal.Jururawat yang mengandung itu berkata,dia masih mahu makan ketupat.Sedikit sebanyak ianya menceriakan kegusaranku terhadap puteriku Atiqah.
JURURAWAT
3/9 kak..pukul 8.30 pagi.
AKU
Terima kasih ya..
Selesai itu aku,Doly dan Tiqa meninggalkan perkarangan Hosp Sg Buloh.
Ibu mana yang tidak gusar.Aku cuba mengusik Tiqa kebanyakan Tonsil dialami oleh penyanyi sahaja.Walau dalam senyum,aku tahu puteriku itu sakit.Kasihan dia.Kalaulah kesakitan itu boleh aku kongsi seperti aku mengandungkannya 10 tahun dahulu.Aku sedar ini ujian buatku,agar aku terusan tabah lagi menjadi ibu dan ayah yang kuat menongkah badai.Semoga kekuatan yang aku semai sedikit demi sedikit bisa menguatkan lagi daya ketahanan Tiqa mendepani sakitnya.Aku sentiasa akan ada untuk mendapatkan rawatan satu satunya puteriku ini.Ya Tuhan,berikan aku kekuatan dan kemurahan rezeki dan membawa keluar dan kemelut dengan tenang satu persatu.Permudahkanlah...Aminn
Penyakit Tonsil
Ungkapan ‘saya ada tonsil’ seringkali kedengaran di kalangan masyarakat umum. Tidak kurang juga ada daripada golongan warga kerja perubatan dan kesihatan sendiri yang menggunakan pernyataan sedemikian yang merujuk kepada suatu struktur yang kelihatan pada mereka tidak normal di dalam rongga mulut.
Sebenarnya, tonsil adalah agregasi tisu limfoid yang terdapat dalam rongga mulut dan tekak seseorang.
Tonsil yang biasa dirujuk ialah struktur kelenjar yang terletak di bahagian tepi, iaitu di kanan dan kiri orofarinks seseorang, yang juga dikenali sebagai ‘palatine tonsil’.
Selain itu, ada lagi agregasi limfoid lain yang berhampiran dengannya yang turut memainkan peranan dan fungsi yang sama.
Ia dikenali sebagai ‘lingual tonsil’ iaitu yang terletak di pangkal lidah, ‘tubal tonsil’ yang terletak di belakang hidung dan beberapa kumpulan tisu limfoid yang lain di dalam tekak yang kesemuanya tersusun dalam bentuk lingkaran yang dipanggil ‘Lingkaran Weldeyer Dalam’.
Tonsil sememangnya wujud pada semua orang terutamanya pada golongan kanak-kanak. Tonsil bertindak sebagai sebahagian daripada sistem pertahanan badan sewaktu masih kecil kerana pada waktu tersebut sistem imuniti badan belum lagi mencapai tahap kematangan sepenuhnya.
Imuniti yang dibekalkan oleh ibu sewaktu dalam kandungan juga sudah beransur-ansur hilang. Justeru, ungkapan mengatakan ‘saya ada tonsil’ tidaklah lebih daripada mengumumkan bahawa diri mempunyai struktur normal seperti mana orang lain.
Dari segi signifikan maksudnya, ia samalah seperti mengatakan saya ada hidung, saya ada mata, saya ada telinga dan sebagainya.
Pada awal usia kanak-kanak, saiz tonsil ini akan meningkat sedikit demi sedikit sehingga mencapai ke suatu tahap yang kekal atau plateau.
Apabila kanak-kanak mencapai usia persekolahan, maka saiz kelenjar ini lama-kelamaan akan menjadi semakin kecil.
Hal yang demikian menerangkan mengapa tonsil jarang kelihatan atau jika dikesan pun adalah dalam saiz yang agak kecil pada golongan dewasa.
* Masalah berkaitan tonsil
Dalam praktis bidang otorinolaringologi (telinga, hidung dan tekak), masalah yang sering dikaitkan dengan tonsil ialah jangkitan virus dan bakteria, baik pada tonsil itu sendiri atau struktur di sekitarnya iaitu kawasan peritonsilar, hipertrofi atau pembesaran saiz kelenjar tonsil yang mengakibatkan tanda-
tanda obstruktif (halangan) seperti penyempitan saluran pernafasan atas dan ketumbuhan termasuklah karsinoma sel skuama (squamous cell carcinoma) dan limfoma.
1. Jangkitan
Selaras dengan fungsinya sebagai struktur barisan hadapan pertahanan badan terutamanya pada kanak-kanak, tonsil merupakan tisu yang terdedah kepada jangkitan kuman baik virus atau bakteria.
Inflamasi berpunca daripada jangkitan virus biasanya merupakan sebahagian daripada jangkitan pada saluran pernafasan atas seseorang (upper respiratory tract infection).
Bakteria pula, biasanya daripada jenis beta hemolitik streptokokus dikenalpasti sebagai punca jangkitan yang paling kerap berlaku. Ia biasanya mempunyai kecenderungan untuk serangan yang berulang-ulang.
Jika jangkitan tonsil ini merebak ke kawasan peritonsilar, maka manifestasinya akan menjadi lebih teruk sedikit.
Kawasan peritonsilar akan mengalami keradangan dan kadang-kadang pengumpulan nanah akan berlaku. Ini menyebabkan saluran pernafasan menjadi lebih sempit dan ada kalanya menyebabkan kesukaran bernafas.
Punca-punca jangkitan lain yang boleh berlaku pada tonsil termasukah difteria, infeksi mononukleosis, agranulositosis dan sebagainya yang kebanyakannya berlaku dalam frekuensi yang agak rendah.
Ini mungkin disebabkan oleh keberkesanan imunisasi yang diperkenalkan oleh kerajaan terhadap bayi yang baru lahir, meningkat kefahaman tentang pentingnya menjaga kebersihan serta kesihatan gigi dan mulut, di samping kecenderungan ibu bapa membawa anak yang mempunyai masalah kelenjar tonsil untuk mendapatkan rawatan pada peringkat yang lebih awal.
2. Hipertrofi Tonsil
Hipertrofi tonsil merujuk kepada saiz tonsil yang lebih besar daripada yang sepatutnya. Ia biasanya melibatkan kedua-dua belah tonsil dan saiznya bersimetri.
Tonsil yang bersaiz besar ini akan mengakibatkan diameter saluran pernafasan atas amnya dan orofarinks khususnya menjadi lebih kecil. Hal ini akan menjadi lebih teruk jika ia berlaku pada kanak-kanak.
Ini adalah kerana saiz orofarinks kanak-kanak adalah lebih kecil dan pertambahan saiz tonsil akan mengakibatkan baki ruangan saluran yang tinggal untuk pernafasan semakin kecil.
Selain itu, saiz tonsil yang besar juga akan menyebabkan gangguan dalam proses menelan yang normal. Kesukaran menelan ini disebut disfagia.
Tonsil yang besar juga kerap kali menjadi tempat terlekat atau tersangkutnya benda asing seperti tulang ikan atau sisa makanan terutamanya tonsil yang mempunyai lubang-lubang yang jelas.
3. Ketumbuhan
Dalam kes-kes terpencil, terutamanya jika hanya sebelah tonsil yang kelihatan membesar lantas menjadikannya tidak lagi simetri, maka ia harus dipastikan bukan berpunca daripada ketumbuhan. Ini adalah kerana bentuk penyiasatan, dan yang lebih penting lagi rawatannya, adalah berbeza.
Ketumbuhan tonsil juga biasanya akan menunjukkan tanda-tanda sistemik yang lain seperti susut berat badan, hilang selera makan dan bengkak kelenjar limfa pada leher yang seharusnya meningkatkan syak terhadap kemungkinan berlakunya ketumbuhan.
Biasanya, pesakit juga mempunyai faktor-faktor risiko yang lain seperti merokok, mengambil minuman beralkohol, mengamalkan memakan sirih atau mengunyah dan menyimpan tembakau di dalam mulut (budaya di sesetengah tempat).
l Tanda-tanda Penyakit Tonsil
1) Sakit sewaktu menelan, iaitu odinofagia adalah antara tanda utama yang membuatkan pesakit datang untuk berjumpa dengan doktor. Ada kalanya ia disertakan dengan demam panas yang mencecah 40°Celcius.
2) Saiz tonsil yang besar, baik pada pesakit yang diketahui mempunyai hipertrofi tonsil atau pun kesan infalamasi hasil daripada jangkitan akan menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit. Kedua-dua belah tonsil mungkin membengkak dan bersentuh di bahagian tengah orofarinks (kissing tonsils). Apabila ini berlaku, pesakit akan mengalami tidur berdengkur, kadang-kadang berhenti bernafas atau apnea sewaktu tidur. Menelan, walaupun air liur sendiri, juga menjadi suatu pengalaman yang memeritkan. Dalam kes jangkitan kawasan peritonsilar, perubahan suara akan berlaku di mana pesakit akan bertutur seperti dia sedang memakan sesuatu yang panas (hot potato voice).
3) Dalam kes-kes ketumbuhan, ada pesakit yang mengadu batuk berdarah dan pemeriksaan menunjukkan permukaan tonsil yang mengalami ulser dan berdarah apabila disentuh. Tidak kurang juga pesakit yang datang dengan tanda yang minimum seperti merasa seperti ada sesuatu yang terlekat di kerongkong sewaktu menelan.
l Rawatan penyakit Tonsil
Bergantung kepada jenis penyakit, rawatan terhadap permasalahan tonsil juga berbeza. Umumnya, sebarang bentuk jangkitan perlu diubati dengan agen antikuman atau antibiotik (untuk bakteria).
Pada masa yang sama, kebersihan mulut perlu ditingkatkan. Pesakit juga digalakkan makan seperti biasa sebagaimana yang boleh.
Jika ia menjadi terlalu sukar, mungkin pemberian cecair serta elektrolit perlu diberikan secara intravena bagi memastikan pesakit berada dalam keadaan stabil.
Bagi kes-kes kawasan peritonsilar yang mempunyai pengumpulan nanah, ia perlu dialirkan keluar. Ini kerana jangkitan yang terkurung di kawasan tersebut boleh mengakibatkan gangguan yang berterusan terhadap saluran pernafasan.
Ia juga mengundang risiko merebaknya jangkitan ke kawasan lain yang lebih sukar untuk dirawat seperti kawasan parafaringeal, retrofaringeal dan mungkin sampai ke mediastinum atas.
Sekiranya jangkitan tonsil berulang-ulang, atau ia menyebabkan gejala obstruktif yang mengganggu kehidupan seperti berdengkur atau apnea tidur, maka pembedahan elektif membuang tonsil adalah disyorkan.
Di Amerika Syarikat, tonsilektomi atau surgeri membuang tonsil merupakan pembedahan elektif yang paling kerap dijalankan di kalangan kanak-kanak.
Ia merupakan suatu prosedur pendek dan pesakit biasanya perlu berada di hospital untuk beberapa hari sahaja. Tiada parut kelihatan kerana prosedur dijalankan melalui rongga mulut.
Jika keabnormalan tonsil merupakan manifestasi masalah ketumbuhan, maka kaedah rawatannya juga berbeza. Ada antara pesakit memerlukan pembedahan dan tidak kurang juga yang dapat dikawal dengan penggunaan ubat kemoterapi.
Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa insiden bagi ketumbuhan tonsil ini amatlah kecil, jika dibandingkan dengan masalah tonsil yang berpunca daripada jangkitan dan hipertrofi.
Walau apapun, mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Dan semestinya rawatan di peringkat awal adalah jauh lebih baik daripada peringkat yang lewat.
Menyemai budaya ingin tahu dan menambahkan ilmu pengetahuan melalui pembacaan dan perbincangan mahu pun konsultasi dengan mereka yang pakar pastinya merupakan suatu pendekatan yang amat berkesan.
Amalkan gaya hidup yang sihat, nescaya anda akan dapat menikmati hidup sihat yang ceria bergaya.
Oleh Dr Irfan Mohamad
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
moga anak cepat sembuh..thanks for sharing
mudah2an dear..
3/9 is check up,sis try to convince doc to give any medicine or treatment to reduce her tonsils size.surgery is a last choice :-)
hurm.. sangat2 perit dan pedih bila nak telan air liur.. 2 minggu lepas tonsil sakit blah kanan.then berjangkit plak kat blah kiri.. ini dah hampir sebulan sakit tonsil nie. tonsil dah besar dan sangat2 menggangu. bila g jumpa doktor. doktor cuma bg ubat kumur je. then jadi lagi.. hurm.. sedey nyer :(
berapa kos bedah tonsil ye
betullah kan orang kata pembedahan tonsil ni seksa juga huhuhu...sebab tu juga ramai yang cari alternatif lain untuk Kecutkan Tonsil Tanpa Pembedahan
Post a Comment