Followers

Monday, February 21, 2011

Ayah

Usai solat Subuh setelah mengemas sedikit ruang rumah aku sudah nekad mahu ke pusara ayah. Minggu lalu dalam perjalanan dan sesat ke pejabat Kak Nora (penyanyi) aku terlintas lalu di hadapan tanah perkuburan arwah ayah. Hati aku dirundung sebak kerana sudah lama aku tidak jenguk pusara ayah. Dulu aku sudah menetapkan kepada diriku sendiri yang aku akan ke pusara itu setiap bulan. Nyata itu janji manusia dan janji anak yang sentiasa sibuk dengan kesibukan dunia. Maafkan Aida ayah..

Kali ini tidak boleh tidak aku harus ke pusara ayah. Setelah bersiap,aku capai jag air dan isi air. Aku ambil surah Yassin atas rak bukuku. Aku start engin kereta dan kereta aku menuju ke pusara ayah yang lebih kurang 15 minit dari rumahku.

Jalan tidak begitu sibuk kerana pada hari Ahad sebegini dan waktu sebegini masih ramai yang berteleku di rumah. Kereta aku belokkan ke arah tanah perkuburan. Aku parking betul betul depan gate. Tidak ada sesiapa di kubur itu melainkan seorang yang membasuh kakinya di paip di tandas kubur tersebut. Jauh sayup sayup aku lihat seorang penjaga kubur sedang menyapu daun daun yang jatuh berserakan. Salam aku hulurkan kepada kesemua penghuni. Bau mesra kemboja dan bunga melur yang sesetengahnya ditanam di kubur membuatkan aku merasakan diraikan. Jauh aku sudah nampak kubur arwah ayah. Dan aku tidak menidakkan sebak bila menghampiri kubur itu. "Aida datang ayah,untuk jenguk pusara ayah ini". Aku berkata2 dalam hati. Ke dua batu nesan di kepala dan kaki itu aku usap. Aku letakkan kembali batu nesan pada sebelah atas ayah elok2. Batu nesan itu memang sudah patah,mungkin kerana sudah lama. Aku usap batu nesan itu,tulisannya juga sudah hilang dan tidak nampak...kecuali bila aku merasa ayat2 jawi itu dengan tangan. Sejuk batu nesan ayah,sesejuk kasihnya padaku sebagai satu satunya zuriatnya. Aku rindu ayah,aku sungguh rindu.

Alunan bacaan Yassin aku alunkan di pusara ayah. Sambil itu bacaanku tersekat sekat kerana aku tidak mampu menepis air mata yang sudah mula jatuh. Dari pusara ayah aku nampak sedikit pemandangan bandar PJ. Kubur ayah atas bukit. Ada angin pagi sepoi sepoi bahasa menampar pipiku yang basah.

"Adik mau cuci kuburkah"?

Aku dikejutkan oleh seorang pemuda India. Dalam hati aku suka suka dia masuk dalam kubur Islam ini.

"Cucilah adik.."

Aku pandang dia. Bacaan Yassin ku terhenti.

"Eh takpe. Terima kasih ya. Saya boleh cuci sendiri"

"Ok,Ok"

Aku diam dan teruskan bacaan. Usai bacaan aku mencabut rumput rumput yang tumbuh meliar atas kubur ayah. Nampak kesan penjaga kubur meracun rumput2 ini. Aku bersihkan keliling simen rangka kubur ayah. Aku tuang air yang dibawa dari rumah tadi. Aku sudah mahu pergi. Tapi seakan ayah memerhatikan aku untuk berlama lama di pusara itu. Aku tidak mampu menahan lagi air mata ini.

"Ayah,Aida akan datang lagi..InsyaAllah"

Dan aku umpama nampak ayah tersenyum kepadaku sambil mengusap gusap rambutku. Aku rindu ayah...

1 comment:

Akie Jack said...

Al-fatehah buat Ayah