Followers

Monday, January 31, 2011

Mimpi adalah kunci,untuk kita menaklukkan dunia :-))

Duh duh,hari ini aku rajin pulak untuk membelek seisi blog aku ini untuk membelek segala kekurangan dan kelebihan. Aduh aduh,tak disangka ada entry yang aku dah terdelete. Ya Tuhan,sorry sahabat sahabatku(Perindu Ketelusan II,Wan Anisah Chang,Azarudin Murad). Aku insan yang lemah. Terima kasih kepada semua yang sudi membaca dan komen di blog aku yang tidak seberapa ini. Blog ini adalah iltizamku,semangatku,perasaanku,kekuatanku malah aku melampiaskan duka dan rasa juga di sini. Ianya sahabatku yang paling akrab. Di sini aku menemui secebis semangat yang hilang :-). Saat aku tidak ada sesiapa,blog ini senantiasa hadir menemaniku umpama menghapus lukaku yang pilu.

Aku bersyukur blog ini ada pengunjungnya saat aku malas juga untuk melewati blog orang lain. Ini kelemahan dan sikapku yang harus aku ubah. Mulai saat ini aku akan membiasakan diri mengunjungi blog blog kalian yang ku rasakan ilmiah bagiku dan dapat memberikan aku input dalam berkarya. Sahabat sahabat yang ku lewati blognya terutamanya yang bersangkutan travelodge sangat memberikan aku inspirasi yang besar,umpama aku sudah berada di negara itu sendiri :-).

Aku dalam rangka mengukuhkan 'Nanamya Production' dan dalam rangka melambakkan Nanamya Production dengan proposal proposal program TV seperti telemovie,drama bersiri dan dokumentari. Apa pun ianya bergantung kepada siapa yang sanggup melabur di dalam produksiku. Ada 2 nama yang sudah dalam pra bersetuju dengan karya karyaku. Dalam masa yang sama aku harus upgrade produksiku secepat mungkin bagi mendapatkan lesen FINAS. Beranikah aku menongkah arus? InsyaAllah...aku teringat kata kata dari filem Soal Hati 'TANPA KEBERANIAN MIMPI TIDAK BERMAKNA'!

Februari sudah menguakkan tirainya. Aku rasakan masa dan detik berjalan agak cepat dari kebiasaan. Aku harus menyiapkan proposal proposal yang sangat penting untuk penentuan karierku,sementara aku diberi peluang ini. Sementara mereka mengingati seorang marhain kecil ini. Terima kasih kepada sahabat sahabat yang senantiasa menyokong akan perjuanganku,yang sentiasa berada di sisiku memberikan terapi!

Haha,who knows berkat izin Allah...impianku untuk mengelilingi dunia bertitik tolak dari proposal proposal ini tercapai melalui Nanamya Production dari kalangan insan yang telus. Ianya bukan jalan pintas,ianya juga penuh duri...tetapi akan aku hadapi apa pun rintangannya kerana ini cita cita dan impian. Dan aku sangat suka lagu ini kerana banyak terpercik semangat dan kekuatan!!!



mimpi adalah kunci
untuk kita menakhlukkan dunia
berlarilah tanpa lelah
sampai engkau meraihnya

laskar pelangi
tak kan terikat waktu
bebaskan mimpimu di angkasa
warnai bintang di jiwa

menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah surga
bersyukurlah pada Yang Kuasa
cinta kita di dunia
selamanya…

cinta kepada hidup
memberikan senyuman abadi
walau hidup kadang tak adil
tapi cinta lengkapi kita

laskar pelangi
tak kan terikat waktu
jangan berhenti mewarnai
jutaan mimpi di bumi

menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah surga
bersyukurlah pada Yang Kuasa
cinta kita di dunia

menarilah dan terus tertawa
walau dunia tak seindah surga
bersyukurlah pada Yang Kuasa
cinta kita di dunia
selamanya
selamanya

Sunday, January 30, 2011

MR M
"Yan,company awak ada apa?"

YAN
Ada apa aje Bang...
Finas license pun takde lagi

MR M
"Awak tau tak,saya register semua ini (sambil tunjukkan semua MOF,license FINAS dll) tanpa ada apa apa. Tanpa saya invest apa apa"

YAN
Ha...?

Kenapa Aku Hadir Dalam Industri Ini?

Jalan depan rumah masih basah,hujan masih kasar menampar depan balkoni rumah. Bunyi hujan yang satu satu menitis tidak langsung menenggelamkan akan hasratku ini. Tentang apa yang ingin aku capai,apa yang ingin aku terokai dan apa yang aku mahukan untuk mendidik bangsa.

Aku mahu ulas di sini tentang visi dan misiku hadir di dalam industri ini. Aku juga kerap ditanya rakan tentang ini. Kerap ditanya tentang industri,kerap ditanya tentang drama melayu yang klishe,kerap ditanya tentang industri perfileman dan drama yang malap dan kerap ditanya tentang isi yang entah apa2 hadir di kotak tv mereka. Paling menyakitkan hati,tapi hempedu yang harus aku telan...bila ramai mengatakan 'Sorrylah i memang tak tengok drama melayu','alah,i dah dapat teka ending dia macam mana','drama melayu,lagu tu lah dari dulu sampai kini'. Semua itu harus aku dan orang orang terdahulu dalam industri ini telan. Aku tidak salahkan penonton langsung,aku tidak salahkan masyarakat langsung kerana mereka berhak berkata apa saja sebagai penonton. Mereka bisa melontarkan apa sahaja yang terlintas zahirnya di depan mata mereka. Dan kita harus ingat penonton sekarang bijak menilai. Justeru bagi aku,tv adalah medium terbaik dalam mendidik anak bangsa,agama dan masyarakat.

Awal hadir dalam industri aku juga sudah awal awal terkena tempiasnya. Karya aku dicincang,isinya lohong dan lebih baik sikit dari sampah! Apa yang aku cuba sampaikan dalam lewat awal karyaku langsung tidak sampai kepada penonton. Tentu aku kecewa. Misi dan visiku hanya hadir untuk memberi moral yang besar dalam setiap karya karyaku! Mengapa masalah ini terjadi? Akhir akhir ini aku ditanya tentang ini. Aku jawab,sebenarnya adalah mentaliti kita sendiri. Kita sukar untuk menerima pembaharuan dan kotak fikiran mereka terutamanya yang bertindak memilih milih karya ini masih dibelenggu dengan kebiasaan lama! Tetapi aku tidak nafikan ada yang bijak menilai karya karya dalam bentuk baru. Antara contohnya drama bersiri Sindarela memberikan suatu impak yang besar kepada penonton. Mesej di dalam drama itu besar. Aku berharap pihak pihak stesen TV lebih mudah menerima pembaharuan dan paling penting mesej yang cuba si penulis sampaikan. Aku juga sedikit kecewa bila salah satu drama bersiriku di stesen gah tidak mampu disambung ke musim seterusnya atas alasan tidak ada iklan,padahal drama itu mampu memberi impak yang bagus kepada anak anak kerana ianya berkisarkan kisah Nabi. Kesal...! Tetapi siapa aku,aku juga harus faham kehendak pemasaran produk dan belenggu materi yang menghiasi dunia hari ini. Lantas di mana kebebasan berkarya ku?

Baru baru ini aku ditegur kerana skripku yang 'berat'? 'Berat'? Aku cuba menpositifkan diri untuk menerima teguran itu dari seorang yang berpengalaman. Ok,aku positifkan diri untuk meringankan skripku kembali. Tetapi masyaAllah rupanya payah untuk meringankan skrip rupanya. Penulisan aku berat sebelum ini? Tak pernah pulak ada orang tegur aku sebelum ini,malah bekas boss ku yang kini orang ke 3 besar di dalam stesen TV islam juga tidak pernah setitik komen akan karya2 ku sebelum ini walau kadang kala ku rasakan agak merepek. Boss aku kata,ianya logik dan relevan. Justeru aku tidak faham apa ertinya skrip dan penulisanku yang heavy. Arghh mungkinlah tidak kena dengan program itu sendiri? Ermm mungkinlah agaknya kan. Think positif in another way. Tapi aku mahu berkata kata tentang dokumentari. Ianya adalah salah satu wadah mendidik penonton,ianya doko...! sedangkan drama pun harus ada moralnya apatah lagi doko. Jadi kalau ringan,di mana moralnya,di mana sudut untuk mendidik penonton dengan skrip dan voice over? Adakah hanya melalui visual semata mata secara total? Justeru lagi bukankah gabungan visual yang hebat itu disimpulkan dengan skrip yang baik menjadi pakej yang lengkap untuk dipersembahkan? Aku masih keliru dan buat masa ini aku masih menulis dengan cara aku yang sarat dengan moral itu. Mungkin merepek pada setengah orang,tetapi aku mahu mendidik masyarakat dalam medium aku sendiri.

Atas dasar itu,atas kebebasan berkarya itu,atas tidak ada kekangan itu,atas ketulenan karyaku dan mesej yang aku cuba sampaikan tidak dicantas,maka kerana itulah lahirnya produksi ini. Aku bukan main main hadir di dalam industri ini,bukan juga main main di dalam apa yang aku tulis,bukan juga suka suka gila glamour untuk hadir di dalam industri. Tetapi aku mahu mesejku sampai. Aku mahu karya2ku dapat mendidik masyarakat. Aku mahu membongkar segala isi yang di luar sana tidak tahu dengan penulisanku yang sarat dengan moral. Doakan aku kawan kawan. Rasanya lebih senang untuk aku menerbit,mengarah dan menulis karyaku sendiri. Doakan aku walau ianya lambat atau cepat,walau 100 tahun lagi.

Wednesday, January 19, 2011

Selamat Ulang Tahun Mak! - Nor Asisah Binti Abd Samad


Hari ini hari jadi mak. Aku sudah hantar sms pada emak tadi. Nak kacau emak untuk call tengah tengah malam ini aku tak sampai hati,sebab emak selalu tidur awal. Dulu emak tak macam tu,emak boleh berjaga dan tidur menjelang tengah malam. Kini sesuai dengan peningkatan usia,mak tidur cukup awal. Mak juga tidak sekuat dulu lagi. Ada anggota anggota badan emak yang sakit. Lutut dan kaki emak kerap sakit,terutamanya bila duduk lama. Mak jarang minum ais,tak boleh minum nescafe. Akibatnya kalau minum mak akan pening.

Aku tidak rapat dengan mak,sebab yang menjaga aku dulu dari 5 tahun hingga 16 tahun adalah arwah Opah. Tapi setelah pemergian Opah,emak mengambil alih tugasnya menjagaku. Aku kurang selesa berada di dalam keluarga emak kerana aku dibesarkan hanya dari tangan arwah Opah. Agak lama untuk aku menyesuaikan diri,sebelum aku betul betul menerima mak dalam hidupku kembali. Ada insiden insiden yang membuatkan aku tidak rapat dengan mak dan menjauhkan diri daripadanya. Ketika itu aku hanya fikir,mak tidak dan kurang sayangkan aku berbanding adik adik lain.

Beberapa tahun selepas itu ada insiden di Kota Bharu Kelantan yang membuatkan aku hanya dengan emak berdua. Sepanjang berjalan di pekan Kota Bharu itu ketika itu aku hanya menegur seikat rambutan gading kuning tepi jalan. Mak terus ambil,keluarkan duit dan bayar. Mak bagi aku. Simple kan...memang la seorang ibu itu biasa belikan anak benda...tp entah la kenapa,insiden yang satu ini membuatkan aku ingat satu persatu akan kasih sayang seorang ibu. Tiba tiba selepas itu mak berkata kata "Emak hanya nak tgok ko bahagia". Aku umpama mahu terjelepuk ke tanah,rasanya darahku tersirat sampai ke kepala. Pucat dan putih. Aku hampir tidak percaya itu kata kata dari emakku. Tiba tiba emak menangis. Emak menangisi akan kasih sayangnya padaku,menangisi akan kekurangan kasih sayangnya,menangisi akan kesilapannya. Ya Tuhan,betapalah emak sendiri yang meruntun hati anak dan mengakui akan silapnya. Aku kaku di situ melihat tangisan emak. Sehingga kami sama sama ke masjid berdekatan untuk solat juga,air mata emak masih terdapat sisa sisa. Sejak itu aku tahu emak sangat sayangkan aku. Walau aku ditinggalkan dengan Opah sedari kecil,walau aku jarang di beri duit belanja oleh emak,walau emak jarang tengok aku,walau emak tidak pernah ucapkan sayangnya seperti ibu ibu lain. Tapi itulah emakku,ianya banyak memendam di sudut hati. Dan kini aku mewarisinya memendam rasa,menyimpannya erat erat jauh ke dalam hati.

Seluruh adik beradik emak bangga dengan emak,kerana emak berupaya mengumpul harta dengan kudratnya sendiri tanpa suami. Selepas ayah pergi,emak tinggal sendiri mengharungi hidup di kota metropolitan ini membesarkan aku. Syukur emak dapat mengumpul sedikit harta sebelum mengambil keputusan berkahwin semula dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Mak jarang tunjukkan kasih sayangnya. Mak antara yang sukar juga untuk aku melihatnya menitis air mata. Justeru aku tahu,kalau mak menangis itu tandanya dia benar benar sedih. Dan kini,sikap sukar mengalirkan air mata itu dan sikap berdikari yang satu itu diwarisi kepadaku. Aku banyak mewarisi sifat sifat emak yang keras kepala,keras pada keinginannya mencapai sesuatu dalam kehidupan. Keras menggapai cita citanya untuk memiliki sesuatu demi menuntut kesempurnaan yang diingininya. Aku dan emak sama,bagaimana aku mahu lari dari bayangan emak. Hatta rupa juga aku mewarisi emak.

Ada benda benda yang membuatkan aku berkecil hati,kerana aku manusia. Mungkin kerana aku sudah merasa tersisih sedari kecil. Tetapi aku buang jauh jauh tanggapan itu kerana aku sedar tidak ada ibu yang tidak sayangkan anaknya. Aku juga sudah menjadi Umi kepada ' 2 Malaikat Kecilku'. Jadi aku faham erti kasih sayang seorang ibu kepada anak anaknya.

Mak, Aida tahu ada yang mengguris emak sepanjang usia emak 59 tahun ini. Aida tahu emak ada berkecil hati. Aida tahu emak banyak memendam rasa kadang2 dengan karenah dan sikap Aida. Tetapi hari ke hari Aida juga menuntun hati untuk menjadi yang lebih baik dari semalam. Menjadi yang lebih baik dari kerjaya. Tidak ada kata untuk emak,tidak ada gantinya barang berupa materi atas segala pengorbanan dan kasih sayang emak. Hanya Tuhan yang tahu,erti cinta dan kasih ini pada insan yang melahirkanku hingga aku membesar ke saat ini. I LOVE YOU SO MUCH MAK & SELAMAT ULANG TAHUN YANG KE 59!


...pengalaman menjadi penawar,mengejar impi ke pintu syurga
duhai bonda bilakah akan?
ku kecapi kasturi
penebus maruah dan semangat lama...

...bonda akhirnya terbongkar jua rahsia
tangisan dan gurindam
keramat kasih sayangmu
keramat...kasih sayangmu....

Monday, January 17, 2011

Sepanjang Jalan Kenangan (Eps 1)



Sudah lama ingin mencoret cerita tentang ini. Tentang erti kasih sayang,erti kasih yang dalam. Pada insan yang membesarkan aku,selain emak yang melahirkan. Sudah lama,ayat ini hanya terlakar di birai hati dan segala visual terbayang di bening mata. Aku masih ingat aku menjadi perebutan antara Atuk Ali serta Opah dan Nenek. Setelah ayah meninggal dunia semasa aku berusia 1 tahun,aku tinggal bersama Atuk Ali yang menjaga arwah ayah sedari kecil. Rumah ini mewah,keluasan lot tepi membuatkan aku bebas ke sana ke mari. Pagi pagi masih ada benggali jual roti yang berkeliling sekitar kawasan PJ Seksyen entah berapa itu. Aku masih ingat pembalut rotinya berwarna biru dan rasa roti itu memang lembut. Rumah mewah ini tidak terasa apa apa bagiku. Mungkin aku hanya menjalani takdir sebagai satu satu cucunya yang perlu dijaga. Laman rumah penuh dengan tanaman orkid yang menjalar hasil tangan Opah Bedah. Aku juga masih ingat di rumah itu ada telefon dail yang bulat itu berwarna hitam. Yang bunyinya memesan bingit setiap kali berdering. Juga masih teringat kotak tv kayu milik Atuk Ali yang boleh dibuka tutup. Di tepi kotak kayu tv ada replika kaca siput yang sampai kini aku sukar untuk jumpa. Banyak benda benda antik yang bermain di benakku.

Suatu hari aku di bawa oleh Atuk Ali,naik keretanya yang dikatakan mewah itu dan mengelilingi KL. Aku juga di bawa ke sebuah bengkel,tungtang tung tang bunyi spanar berlawan. Aku hanya memerhatikan dengan pandangan kosong anak berusia 5 tahun.

Suatu hari Atuk Ali pulang dan belikan aku baju kilat2 warna merah emas. Aku fikir baju apakah ini untukku. Rupanya...ohh itu baju jalan. Takkan aku nak jalan dengan baju 'meghelip' macam tu. Tapi itulah ianya kenangan,dan aku hingga kini menyimpan baju itu. Kini Atuk Ali sudah tidak ada lagi. Semua kata,Atuk Ali kaya...semua kata arwah ayah juga diwarisi kekayaan itu. Tetapi bagiku tidak ada apa yang tinggal,semuanya telah di bawa pergi oleh kematian. Atuk Ali meninggal semasa aku berusia 10 tahun. Al Fatihah

Sampailah aku di bawa tinggal bersama Opah dan Nenek di kampung kelahiranku dan emak. Aku mudah akrab dengan mereka,mungkin kerana aku lahir di sana. Rumah yang aku duduki bersama Opah dan Nenek sangat sederhana. Rumah kayu atas,ada engsel dengan tingkap yang panjang panjang. Keliling ada pokok durian,rambutan,manggis,mata kucing,mangga epal,pulasan,ambra yang membuatkan nyaman sentiasa menghuni aku. Aku masih ingat 'tobek' bahasa Rao untuk kolam ikan yang besar terdapat di belakang rumah. Masih juga ingat pokok belimbing buluh yang tumbuh tunduk yang buahnya menyembah bumi di anjung dapur rumah. Cerucuk cerucuk kayu buatan nenek disandarkan di pohon2 durian di keliling rumah membuatkan mata sedap memandang. Dengan cerucuk cerucuk kayu itu laman menjadi bersih. Nenek pantang tengok sampah yang banyak keliling rumah. Petang petang bau dedaun kering yang membanjiri laman dibakar oleh nenek meredupkan pandangan mata. Ada pokok bidara hujung sana,ada bunga melor yang segar bugar bila opah cantas hujungnya,ada juga pelbagai koleksi bunga raya milik opah. Dan bila musim durian bunga bunga durian yang gugur umpama Sonata di mataku. Menulis tentang ini buat aku sebak,buat aku satu satu mengingat mereka yang telah pergi,buat aku bersyukur melalui kehidupan sebagai anak kampung,buat aku sangat bangga sekali pun calar jatuh basikal,sekali pun kerengga kadang kadang meratah kakiku yang ketika itu anak anak. Aku masih ingat sahutan opah yang sayup sayup bila aku memanggilnya...dia ibuku,walau bukan melahirkan,dia menjagaku saat emak bepergian jauh mencari rezeki sebagai ibu tunggal ketika itu. Dia memahami segenap inci kepedihan dan suka hatiku. Aku rindukannya! titik...dalam mataku yang basah.

To Be Continue...

Sunday, January 16, 2011

New Semester,New Life,New Journey


Pemandangan hari pertama pendaftaran di Maahad Al Abbasiyah

Setiap semester baru persekolahan bermula,aku antara orang yang sibuk dengan persiapan persekolahan anak anak. Tahun ini juga mencabar kerana pertama kalinya menyekolahkan anak untuk menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Apa yang pasti aku dapat jangka,perbelanjaan pastinya makin bertambah. Agak kelam kabut memilih sekolah mana yang sesuai untuk puteriku. Awalnya memang aku ingin menyekolahkan puteriku itu ke salah sebuah sekolah tahfiz. Penat browse dalam internet mengenai sekolah sekolah tahfiz terbaik di Malaysia. Aku memilih sama ada Selangor (pedalaman) atau Pahang. Congak congak aku memilih Pahang di Maahad Tahfiz Al Amin.Terus call dan malangnya mereka sudah menutup kemasukan ke maahad tersebut. Pening jugak aku selepas itu dan terfikir fikir di mana mahu menyekolahkan puteriku ini. Kemudian aku menelefon beberapa sekolah maahad tahfiz dan agama di Selangor. Masih penuh dan agak mahal. Pendaftaran semuanya tidak termasuk buku adalah RM1,000...hmm mahal! Dalam masa yang sama puas juga untuk memujuk puteriku untuk menjadi seorang hafizah. Akhirnya aku memutuskan untuk tidak menghantarnya ke tahfiz kerana keengganannya. Aku hanya memberi pilihan sama ada sekolah agama maahad,bukan sekolah menengah kebangsaan biasa. Cukuplah aku yang bersekolah di sekolah menengah kebangsaan biasa,aku tahu bagaimana silibus dan sistemnya. Bukan bermakna sekolah menengah kebangsaan tidak bagus,tetapi aku mahu yang lebih bagus lagi terutamanya dalam aspek keagamaan.

Dalam masa itu,mak dan abahku sibuk untuk aku menyekolahkan Tiqa ke kampung halamanku di Bidor Perak. Aku semakin keliru. Lantas aku browse lagi sekolah sekolah agama bagus di sekitar kampung halamanku. Abah menjalankan misinya terus ke sekolah yang aku katakan iaitu Maahad Al Abbasiyah...tp syg pengambilan dah penuh. Aku kecewa sekali lagi. Tapi aku percaya,Allah tahu rasa aku. Tiba tiba kami mendapat panggilan dari pengetua Maahad Al Abbasiyah yang terdapat hanya satu kekosongan lagi dan Tiqa di terima. Syukur alhamdulillah,impian jadi nyata. Impian untuk menyekolahkan anak walau pun bukan di tahfiz dikabukanNya. Lantas aku terus menyiapkan segala persiapan. Yuran bukan seperti sekolah menengah kebangsaan biasa,agak mahal sedikit. Tetapi tidak semahal maahad di Selangor dan WP. Apa pun syukur alhamdulillah. Semoga puteriku mampu mencorakkan diri dengan bersekolah di sini. Agama itu penting dalam pendidikan dan pembesaran anak anak. Aku sudah menjalankan kewajipan mengajar anak anak mengaji dahulu pada peringkat awal,tanpa menghantar ke ustaz/ustazah. Aku juga berpeluang menghantar anak anak ke sebuah Yayasan yang mengajar mereka erti tauhid yang sebenar. Syukur...dan kini peringkat menengah puteriku meneruskan legasi track agama itu. Syukur,syukur. Aku sudah siap sedia tanya Yassin puteraku,yang mahu atau tidak dia dihantar ke sekolah tahfiz dan menjadi hafiz. Yassin sudah bersetuju untuk memasuki tahfiz tahun depan. Doakan aku dapat mendidik anak anak menjadi khalifah dan serikandi yang diberkati dunia dan akhirat.

Bukan mudah mendidik anak anak. Dalam kerjayaku yang sangat terkejar kejar dengan skrip,shooting,meeting,dateline dan sebagainya ianya sangat mencabar dan kadang kadang hilang sabar. Justeru itu anak anak ku hantar ke asrama,bukan bermakna aku tidak sayangkan anak anak. Hanya Allah yang tahu perasaan seorang ibu bila anak itu tidak berada di depan mata. Tapi demi masa depan,demi agama...untuk aku sendiri yang memantau,aku yang tidak ada masa dan jahil ini...semuanya ini adalah pengorbanan. Dan Alhamdulillah aku dapat melihat hasilnya tidak sampai setahun. Anak anak lancar membaca jawi sehingga bila ke kubur,juga lancar membaca nama nama di batu nesan. Anak anak juga lancar membaca Al Quran dalam usia yang muda. Dan anak lelakiku sudah khatam dalam usia 11 tahun. Namun anak anak,harus dipantau dan aku perhatikan medium elektronik banyak menjadi anasir memudarkan agama kepada kita semua. Ibu bapa harus pandai mengekang...dan bukan mudah mengekang anak anak dengan TV. Aku ini juga masih lemah dan tertatih dalam berkeras memantau anak anak dalam pendidikan TV. Selain memantau siaran siaran yang mereka tonton,aku banyak memperkenalkan chanel chanel ilmiah yang membina minda mereka. Sebagai orang di dalam industri ini bagiku aku berhak mengetahui dan memilih lantas memberitahunya kepada anak anak. Satu lagi aku akan menonton bersama sama anak anak dan bila ada scene yang tidak sepatutnya aku akan memberitahu anak anak yang scene sebegini tidak patut ditonton.

Aku juga suka menyuruh anak anakku berfikir dan hujung ceritanya memberikan aku moral apa yang mereka dapat dari cerita tersebut. Alhamdulillah,anak anak sudah tertatih dengan apa yang aku ajar. Tetapi keterujaan anak anak pada drama2 kanak kanak,sinetron2 harus aku kekang sedikit demi sedikit. Banyak yang tidak bagusnya.

Teringat semasa mengandungkan ke dua malaikat kecilku ini,aku tidak putus membaca setiap malam Surah Yusuf,Maryam,Ali Imran,Kursi dan Yassin. Moga berkat surah surah ini ada pada anak anakku. Alahai bukan mudah juga menangani anak anak yang makin dewasa dengan kita yang semakin berusia. Anak2ku,tlg permudahkan Umi dalam segala urusan. Amin3x :-)