Monday, January 17, 2011
Sepanjang Jalan Kenangan (Eps 1)
Sudah lama ingin mencoret cerita tentang ini. Tentang erti kasih sayang,erti kasih yang dalam. Pada insan yang membesarkan aku,selain emak yang melahirkan. Sudah lama,ayat ini hanya terlakar di birai hati dan segala visual terbayang di bening mata. Aku masih ingat aku menjadi perebutan antara Atuk Ali serta Opah dan Nenek. Setelah ayah meninggal dunia semasa aku berusia 1 tahun,aku tinggal bersama Atuk Ali yang menjaga arwah ayah sedari kecil. Rumah ini mewah,keluasan lot tepi membuatkan aku bebas ke sana ke mari. Pagi pagi masih ada benggali jual roti yang berkeliling sekitar kawasan PJ Seksyen entah berapa itu. Aku masih ingat pembalut rotinya berwarna biru dan rasa roti itu memang lembut. Rumah mewah ini tidak terasa apa apa bagiku. Mungkin aku hanya menjalani takdir sebagai satu satu cucunya yang perlu dijaga. Laman rumah penuh dengan tanaman orkid yang menjalar hasil tangan Opah Bedah. Aku juga masih ingat di rumah itu ada telefon dail yang bulat itu berwarna hitam. Yang bunyinya memesan bingit setiap kali berdering. Juga masih teringat kotak tv kayu milik Atuk Ali yang boleh dibuka tutup. Di tepi kotak kayu tv ada replika kaca siput yang sampai kini aku sukar untuk jumpa. Banyak benda benda antik yang bermain di benakku.
Suatu hari aku di bawa oleh Atuk Ali,naik keretanya yang dikatakan mewah itu dan mengelilingi KL. Aku juga di bawa ke sebuah bengkel,tungtang tung tang bunyi spanar berlawan. Aku hanya memerhatikan dengan pandangan kosong anak berusia 5 tahun.
Suatu hari Atuk Ali pulang dan belikan aku baju kilat2 warna merah emas. Aku fikir baju apakah ini untukku. Rupanya...ohh itu baju jalan. Takkan aku nak jalan dengan baju 'meghelip' macam tu. Tapi itulah ianya kenangan,dan aku hingga kini menyimpan baju itu. Kini Atuk Ali sudah tidak ada lagi. Semua kata,Atuk Ali kaya...semua kata arwah ayah juga diwarisi kekayaan itu. Tetapi bagiku tidak ada apa yang tinggal,semuanya telah di bawa pergi oleh kematian. Atuk Ali meninggal semasa aku berusia 10 tahun. Al Fatihah
Sampailah aku di bawa tinggal bersama Opah dan Nenek di kampung kelahiranku dan emak. Aku mudah akrab dengan mereka,mungkin kerana aku lahir di sana. Rumah yang aku duduki bersama Opah dan Nenek sangat sederhana. Rumah kayu atas,ada engsel dengan tingkap yang panjang panjang. Keliling ada pokok durian,rambutan,manggis,mata kucing,mangga epal,pulasan,ambra yang membuatkan nyaman sentiasa menghuni aku. Aku masih ingat 'tobek' bahasa Rao untuk kolam ikan yang besar terdapat di belakang rumah. Masih juga ingat pokok belimbing buluh yang tumbuh tunduk yang buahnya menyembah bumi di anjung dapur rumah. Cerucuk cerucuk kayu buatan nenek disandarkan di pohon2 durian di keliling rumah membuatkan mata sedap memandang. Dengan cerucuk cerucuk kayu itu laman menjadi bersih. Nenek pantang tengok sampah yang banyak keliling rumah. Petang petang bau dedaun kering yang membanjiri laman dibakar oleh nenek meredupkan pandangan mata. Ada pokok bidara hujung sana,ada bunga melor yang segar bugar bila opah cantas hujungnya,ada juga pelbagai koleksi bunga raya milik opah. Dan bila musim durian bunga bunga durian yang gugur umpama Sonata di mataku. Menulis tentang ini buat aku sebak,buat aku satu satu mengingat mereka yang telah pergi,buat aku bersyukur melalui kehidupan sebagai anak kampung,buat aku sangat bangga sekali pun calar jatuh basikal,sekali pun kerengga kadang kadang meratah kakiku yang ketika itu anak anak. Aku masih ingat sahutan opah yang sayup sayup bila aku memanggilnya...dia ibuku,walau bukan melahirkan,dia menjagaku saat emak bepergian jauh mencari rezeki sebagai ibu tunggal ketika itu. Dia memahami segenap inci kepedihan dan suka hatiku. Aku rindukannya! titik...dalam mataku yang basah.
To Be Continue...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment