Monday, October 19, 2009
Selamat Ulang Tahun 'Muhammad Yassin Adnin'
Selepas arwah ayah,dia merupakan lelaki terpenting di dalam hidupku. Aku mengandungkannya selama 9 bulan,diikuti dengan penat lelah menanggung perih jerih kehidupan rumahtangga yang bergolak saat membawa perut.Tika kandungan itu juga,aku bermusafir mencari tanggungjawab yang dicari dari seorang yang bergelar suami.Kota metropolitan yang nanar aku redah,demi mempertahankan sebuah yang bernama rumahtangga.Ketika itu aku menjadi suri sepenuh masa di sebuah pekan indah di Bandar Kajang.Tanggal mampir kepada tarikh lahirku,aku sudah mulai sakit dan ku teka aku mungkin sudah mahu melahirkan.Aku dimasukkan ke Hospital Daerah Kajang dan bermalam satu harinya.Jam demi jam aku lalui dan aku tidak juga mahu melahirkan.Doktor mengesahkan agar aku menunggu sampai pagi esoknya,jika tidak ada sakit maka aku dibenarkan pulang.Benar,aku tidak mengalami sebarang komplikasi dan diarahkan pulang semula ke rumah.Alahai puteraku,dalam kandungan lagi dia sudah main cat cilut dengan aku. Tanggal hampir 19/10 aku sudah mulai sakit dan mahu melahirkan.Aku disorong masuk ke dalam bilik menunggu untuk bersalin.Saat itu aku berjuang,menghadapi sakit yang datang kerap dan kerap.Tanya pada sesiapa ibu mengandung pun,sakit melahirkan itu sukar ditafsirkan dan umpama nyawa di hujung tanduk.Namun aku berusaha menahan segalanya demi melahirkan puteraku ini.Tidak lama aku mengalami kesakitan itu,aku disorong ke bilik bersalin.Terdapat misi berbaju biru yang ku kira ketua jururawat dan dua jururawat pelatih yang menemaniku.Mudah kelahirannya,sangat mudah.Tiba tiba sahaja dia sudah keluar dan diletakkan di atas perutku dengan darah yang masih berlumuran.Suara misi mencelah,"Esok,bila emak dah tua jangan hantar Rumah Orang Orang Tua,ye".Sepotong ayat dari misi itu sangat jelas dipendengaranku dan betapa sebaknya dadaku melihat satu lagi ciptaan keajaiban Allah.Kini satu lagi pewarisku sudah lahir.Bila bayi sudah dibersihkan dan puteraku disorong ke dalam bilik bayi.Aku selepas itu mahu tidur seketika.Segala urat uratku hampir putus dan aku sudah tidak punya tenaga lagi,aku mahu sedikit rehat.Esoknya aku dibenarkan keluar bila bayi sudah mencerna dengan sempurna.Dan dialah yang bernama 'Muhammad Yassin Adnin'.
Terdapat sedikit pergolakan bila mahu menamakan anakku tika itu.Aku sendiri mahukan Muhammad,bukan Mohd,bukan Muhd,atau singkatan yang lainnya.Aku mahukan ejaan penuh sebegitu untuk mengambil nama Rasulullah SAW.Sekurang kurangnya tanggungjawabku memberikan nama yang baik baik buat anak,sudah aku jalani.Yassin itu,kerana bekas suami tertarik dengan nama nama anak Sifoo M.Nasir yang terdiri dari Ilham,Yasin,Hidayat,Shafie.Jadi nama Yassin diambil dari salah satu anakanda Sifoo itu dan mengambil berkat Surah Yassin itu sendiri.Adnin pula,merupakan syurga tertinggi selepas Firdaus.Dalil dari Al Quran;
وَعَدَ اللّهُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ وَرِضْوَانٌ مِّنَ اللّهِ أَكْبَرُ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "syurga adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.
Surah At-Taubah, Ayat 72
جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ لَهُمْ فِيهَا مَا يَشَآؤُونَ كَذَلِكَ يَجْزِي اللّهُ الْمُتَّقِينَ
(Untuk mereka) syurga-syurga " adn ", yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertaqwa,
Surah Al-Nahl, Ayat 31
جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدَ الرَّحْمَنُ عِبَادَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّهُ كَانَ وَعْدُهُ مَأْتِيّاً
(Iaitu) syurga " adn " yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hambaNya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; sesungguhnya Tuhan itu, janjiNya tetap berlaku.
Surah Maryam, Ayat 61
جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍ وَلُؤْلُؤاً وَلِبَاسُهُمْ فِيهَا حَرِيرٌ
(Balasan mereka ialah) syurga - syurga " adn ", yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera.
Surah Faatir, Ayat 33
رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدتَّهُم وَمَن صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ إِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam syurga "adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Surah Ghaffir, Ayat 8
يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga " adn ". Itulah kemenangan yang besar.
Surah As-Saff, Ayat 12
جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ذَلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ
Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.
Surah Al-Bayyinah, Ayat 8
Kini Yassin sudah menginjak dewasa dengan saiz badannya yang tetap kecil.Dia sudah pandai dan lulus membaca Al Quran,tulisan jawi atau apa sahaja.Yang mengkagumkan,dia hafaz Surah Yassin.Itu sudah membuatkan aku melangit sebak,tambah tambah bila ke kubur dan dengan lancar dia membaca apa yang tertera di batu nesan.Sekurang kurangnya Yassin dan kakaknya tidak sesat bila mahu mencari kuburku kelak.Mudah mudahan Yassin mampu membacakan satu kali pun cukup Surah Yassin yakni sempena namanya bila berkunjung ke pusaraku dan selepas solat.Itu doaku sebagai seorang Uminya.
Yassin seorang yang sensitif dan tidak suka sesiapa pun yang merosakkan akan perasaanku dan kakaknya Atiqah.Padanya dunianya,langit,awan atau apa sahaja semuanya adalah aku Uminya.Segala galanya aku.Yassin sangat manja denganku.Cuma aku marah,pukul tatkala kesabaranku diuji uji.Bila mana aku mahu membentuk Yassin menjadi seorang lelaki dan marhain yang soleh.Agar Yassin kenal erti tanggungjawab pada Allah,diri sendiri,ibu,kakak,masyarakat,agama dan bakal keluarganya yang akan dipimpinnya kelak.Aku mahu Yassin kuat dan tabah mengharung segala badai.Aku mahu Yassin menerajui produksi kecilku untuknya dan kakaknya yang aku tubuhkan.Aku mahu,jika diizinkanNYA Yassin dan kakaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah.Semoga aku dipanjangkan usia dapat melihat dan membesarkan anak anak dengan sempurna.Inilah cerita lelaki yang menghuni rahimku,yang ku lahirkan,yang ku didik dengan penuh kasih sayang.Yang ku tatang umpama minyak yang penuh.Inilah lelaki yang akan mengusap jenazahku,membacakan Yassin untukku yang tidak putus putus,yang memandikan jenazahku,yang mengapankanku,yang mengimami solat2ku dan solat jenazah dan yang memasukkan aku ke liang lahad.Inilah lelaki yang tidak putus air sembahyang denganku dan tanpa jijik mampu membasuh kotoranku pabila aku sudah tua dan tidak berdaya lagi.Ini doaku buat anakanda yang bernama 'Muhammad Yassin Adnin'.Buat Yassin,Umi sangat sayangkan Yassin.Selamat Ulang Tahun Yang ke 10 pada 19/10/2009.
-Umi-
*يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.Surah Lukman Ayat 17
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Grreat blog you have
Post a Comment